NANA enggan ulas desas-desus. FOTO NSTP
NANA enggan ulas desas-desus. FOTO NSTP
Norhayati Nordin

PENYANYI dan pelakon Siti Nordiana Alias atau Nana, 34, enggan mengulas lanjut desas-desus namanya turut dicalonkan sebagai pengganti Neelofa untuk mengacarakan program hiburan popular, MeleTop.

Nana berkata dia sendiri tidak menduga namanya antara yang menjadi sebutan sebagai pengacara pengganti program itu kerana berasakan ada selebriti lain lebih layak.

“Tak sangka juga nama saya pun disebut-sebut untuk mengacarakan program MeleTop selepas Neelofa undur diri.

“Saya fikir ada pengacara wanita lain lebih sesuai bergandingan dengan Nabil iaitu Jihan Muse kerana pengalaman serta kewibawaan dimilikinya,” kata Nana.

Nana yang pernah memenangi anugerah pengacara popular berkata, masih banyak perlu diperbaikinya dalam pengacaraan.

“Saya bukan tidak yakin dengan kemampuan diri tetapi mengacarakan program MeleTop itu cabarannya besar. Apapun, terima kasih kepada peminat yang menyebut nama Nana.

“Semuanya bergantung kepada rezeki. Saya memang tidak tahu menahu nama turut disebut sebagai calon pengganti,” katanya.

Mengulas dirinya yang didakwa mampu menaikkan ‘rating’ tontonan, Nana berkata program MeleTop sudah ada penjenamaan tersendiri dan kelompok penonton setia.

Terdahulu, pada 3 Disember lalu pengacara wanita terkenal Neelofa mengumumkan akan mengundur diri sebagai pengacara MeleTop selepas tujuh tahun mengendalikan program itu.

Berikutan itu, tiga selebriti wanita popular iaitu Nana, Mira Filzah dan Jihan Muse disebut-sebut bakal menggantikan tempat Neelofa.

Bahkan, dalam ruangan gosip Cik Pang di Metro Ahad pada 8 Disember lalu juga ada menulis nama tiga selebriti itu yang dikatakan bakal mengisi posisi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 5:45 PM