POLIS Diraja Malaysia (PDRM). FOTO arkib NSTP
POLIS Diraja Malaysia (PDRM). FOTO arkib NSTP
Hadzlan Hassan

SYABAS diucapkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya orang nombor satu pasukan beruniform berkenaan, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau baru-baru ini memaklumkan bahawa Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) yang berada di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan dirombak selepas beberapa pegawai dipercayai bekerjasama dengan sindiket jenayah.

Jika tidak membabitkan penipuan, mungkin Bahagian Jenayah Komersial boleh dilupakan dan jika tidak, satu lagi jabatan pasti menjadi antara kerusi panas dalam PDRM.

Sebagai bekas wartawan di meja jenayah, saya melihat tindakan Ketua Polis Negara (KPN) itu sangat wajar dalam usaha membersihkan nama baik pasukan hatta mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap pasukan berkenaan.

Bagaimanapun, sekali imbas tindakan berkenaan agak tergesa-gesa dalam usaha mengembalikan keyakinan masyarakat berhubung isu terbabit.

Tohmahan sebegini bukan perkara baharu kerana sejak menjadi wartawan kadet pada 1996 pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap sang saka biru dan akhirnya akan ada 'operasi' pembersihan dalam jabatan atau operasi di lapangan.

Kita pernah mendengar pendedahan bekas KPN, Tan Sri Musa Hassan mengenai kewujudan sembilan Dragon di Malaysia.

Beliau mendedahkan, ada ahli politik tertentu yang datang ke pejabatnya, tidak berpuas hati apabila ketua kongsi gelap yang ditahan adalah rakan-rakannya.

Katanya, hubungan kongsi gelap dengan pegawai polis dan ahli politik sudah lama wujud.

Tapi, sehingga hari ini saya belum mengetahui berapa bilangan Dragon yang tinggal daripada sembilan berkenaan.

Apa yang saya dengar, hanya pegawai atau anggota pasukan keselamatan yang dikenakan tindakan.

Saya sangat setuju mereka dikenakan tindakan jika mereka benar-benar melakukan kesalahan sama ada mempunyai kaitan dengan sindiket atau membuka ruang kepada penjenayah.

Apa yang saya khuatirkan ada antara pegawai atau anggota hanya menerima natijah akibat perbuatan orang lain.

Mereka masih bersemangat untuk memikul amanah, malah sudahpun melakukan beberapa kejayaan dan tangkapan.

Tidakkah moral mereka ini terjejas dan terpaksa berhadapan dengan tanggapan negatif rakan sepasukan?

Apapun laporan Berita Harian yang memetik Abdul Hamid mengatakan bahawa jabatan pengurusan Bukit Aman membentuk jawatankuasa khas menyaring anggota polis untuk menjalankan tugas mereka di jabatan berkenaan menimbulkan sedikit persoalan.

Ini kerana adakah sebelum ini tiada tapisan dibuat dan adakah sindiket ini hanyalah baru wujud dan bagaimanapun pula seseorang yang pernah berada di 'jabatan panas' sebelum ini?

Jika aktiviti itu berlaku sudah dua, tiga atau empat tahun sebelum ini apakah tidakan yang diambil?

Saya tidak mahu mempertikaikan isu pentadbiran pihak berkuasa itu kerana percaya PDRM mempunyai pendekatan tersendiri menangani isu berkenaan.

Apa yang cuba saya sampaikan ialah adakah pembersihan dilakukan kini betul-betul bersih kerana individu awal yang menjalinkan hubungan dengan sindiket atau yang mencetuskan budaya tidak sihat mungkin kini berada di zon selesa sebaliknya yang memikul tanggungjawab dan memberkas ahli sindiket terpaksa menanggung beban.

Dalam laporan berkenaan Abdul Hamid mengulangi pendiriannya untuk tidak berkompromi dengan anggota polis yang mempunyai 'jalinan mesra' dengan penjenayah dan menjanjikan tindakan tegas terhadap anak buahnya jika terbabit dan masyarakat pastinya menyokong penuh pendirian beliau.

Beliau dalam kenyataan memberi penekanan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) serta Narkotik akan dirombak dan saya percaya, beliau tidak telepas pandang Jabatan Jenayah Komersial kerana segala bentuk penipuan sama ada jenayah kolar putih atau biru pastinya membabitkan jabatan berkenaan.

Di era ini, kredibiliti PDRM sebenarnya mula tercalar sejak isu dibawakan Asri Janggut yang mempertikaikan kewujudan peniagan warga asing dan pusat perjudian di Sungai Buloh menyebabkan semua agensi penguat kuasa melancarkan 'perang' di kawasan itu.

Bagaimanapun, isu itu terbiar begitu saja tanpa ada sebarang follow up dari media massa kecuali media sosial yang sekali-sekali membuat dakwaan pusat berkenaan kembali beroperasi.

Imej PDRM sekali lagi tercalar bulan lalu selepas SPRM menahan 10 individu termasuk lapan pegawai kanan polis kerana terbabit dengan sindiket Macau Scam.

Selain anggota, antara yang ditahan ialah seorang asisten komisioner, deputi superintendan dan asisten superintendan yang bertugas di di Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Sindiket itu dikatakan menyasarkan mangsa di China dan menggunakan Malaysia sebagai hab operasi dan mencuci wang.

Saya percaya pasti ramai yang menyokong tindakan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap anggota mereka yang disyaki atau yang ditahan kerana terbabit dengan sindiket seperti itu namun mungkin penganiayaan bagi mereka yang terpalit hukuman sedangkan tidak perbabit dengan salah laku.

Mereka ini biasanya 'terpaksa' dikenakan tindakan kerana berdepan persepsi negatif masyarakat umum, ibarat seekor kerbau membawa lumpur, satu kandang terpalit.

Apapun saya berharap pihak berkuasa terutama yang bertugas di lapangan sentiasa bersiap siaga dan bersedia menghadapi cabaran serba baharu di zaman teknologi ini.

Penulis ialah Penyunting Eksekutif Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 5:59 AM