KAFE AHAD

KETUA Polis Johor DATUK AYOB KHAN MYDIN PITCHAY adalah 'jenama baru' yang menjadi sebutan dalam kalangan penjenayah, khasnya sindiket penyeludupan migran.

Pada masa sama, sepanjang Ayob Khan meluahkan 'kemarahannya' terhadap kegiatan ini, lebih 20 pegawai dan anggota agensi penguat kuasa ditahan selepas terbabit menjadi petualang menjual kedaulatan negara kepada sindiket.

Kini, pantai timur Johor hampir bersih daripada kegiatan penyeludupan migran dan Ayob Khan menumpukan pula usaha untuk menjahanamkan kegiatan sindiket serta petualangnya di pantai barat Johor.

Ikuti wawancara beliau bersama wartawan, OMAR AHMAD dan juruvideo, MOHD AZREN JAMALUDIN bagi mengulas isu ini.

Nama Ayob Khan umpama mimpi ngeri buat sindiket penyeludupan migran selain penguat kuasa yang sanggup menjual kedaulatan negara.

Tugas serta amanah setiap anggota serta pegawai polis ialah menguatkuasakan undang-undang dan itu yang saya serta rakan setugas lain lakukan.

Kami akan bertindak terhadap pesalah undang-undang tanpa mengira siapa dia, orang biasa atau anggota sindiket penyeludupan migran.

Yang menganggap nama saya mengerikan atau menakutkan, itu pandangan dan persepsi mereka.

Rekod mendapati lebih 20 penguat kuasa membabitkan PDRM, Jabatan Imigresen, Polis Marin, malah ATM ditahan kerana menjadi petualang sindiket penyeludupan migran. IPK Johor kini dijadikan benchmark dalam usaha menumpaskan sindiket seperti ini.

Untuk rekod, setiap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri sudah melancarkan operasi seperti ini namun ia mungkin sedikit berbeza daripada IPK Johor.

IPK Johor melancarkan Operasi Pintas Bersepadu Selatan pada 22 April lalu dan kita adalah perintis kepada operasi penyeludupan migran.

Operasi Pintas Bersepadu Selatan ini turut membabitkan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Sementara itu, Op Benteng pula hanya dilancarkan di peringkat Pusat pada 1 Jun lalu.

Kita ada satu format yang mantap dalam menangani isu pendatang asing tanpa izin (Pati).

Saya hendak tegaskan, bagi PDRM Kontinjen Johor, kita ada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Asisten Komisioner Md Yusof Ahmad, beliau seorang yang amat berpengalaman.

Md Yusof muncul dengan pendekatan baru untuk kita ambil tindakan ke atas warga asing atau migran ini di bawah jenayah terancang.

Ini kali pertama format ini digunakan, sebelum ini, mereka ditahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom).

Kali ini, disebabkan ia membabitkan sindiket, Bahagian Siasatan Jenayah IPK Johor di bawah seliaan Md Yusof, kumpulan ini ditangkap dan dituduh di bawah jenayah terancang.

Di bawah jenayah terancang ini, kita dapat tangkap semua seperti ketua sindiket, pengurus, tekong laut, tekong darat, penghantar, penjaga rumah penampungan dan anggota agensi penguatkuasaan.

Jadi, bila disiasat di bawah jenayah terancang, kita boleh gunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Sosma ini membolehkan kita menggunakan prosedur mendapatkan ejen, menggunakan saksi terlindung serta membolehkan kita menahan reman mereka selama 28 hari untuk jalankan siasatan.

PDRM Kontinjen Johor adalah perintis dalam konteks menangkap, menyiasat dan menuduh tekong-tekong ini di bawah jenayah terancang.

Model inilah yang digunakan PDRM kontinjen lain.

Alhamdulillah, pasukan yang saya ada adalah pasukan yang mantap di bawah seliaan Md Yusof.

Kita akan teruskan lagi usaha untuk memastikan Johor yang dikatakan sebagai lokasi transit keluar dan masuk Pati dari Indonesia, bersih daripada kegiatan haram ini.

Rekod turut mendapati lebih 150 tekong darat, laut serta ahli sindiket penyeludupan migran sudah ditahan IPK Johor.

Jika dilihat, berdasarkan statistik sejak Op Pintas Selatan dilancarkan April lalu, kita sudah tahan 99 tekong serta 193 migran. Ia jumlah yang besar.

Penyeludupan migran di negeri ini aktif sejak 2016. Untuk rekod, pada 2016, tangkapan berkaitan kes ini ialah 681, 2017 (828), 2018 (276) dan 522 pada 2019.

Berkaitan sindiket pula, rekod menunjukkan, ada 20 sindiket pernah beroperasi pada satu-satu masa, ia jumlah yang besar.

Di pantai timur Johor, kami sudah tumpaskan atau lumpuhkan kira-kira 95 peratus sindiket.

Fokus saya ialah untuk menahan tekong dan bot, ini paling penting.

Jika kita tahan migran, tetapi gagal menahan tekong, penyeludupan ini akan berterusan.

Penahanan tekong serta bot boleh melumpuhkan kegiatan ini. Selepas ini, pantai barat Johor akan jadi tumpuan saya.

ANTARA keratan laporan akhbar Harian Metro.
ANTARA keratan laporan akhbar Harian Metro.

Apa yang Datuk dan IPK Johor lakukan pasti mengundang kemarahan sindiket. Datuk risaukan keselamatan diri?

Apabila kita memilih profesion sebagai anggota polis, secara tidak langsung, kita terdedah dengan pelbagai ancaman dan kecaman, tambahan apabila bertindak tegas, pasti ramai yang tidak suka.

Bukan saja penjenayah, malah ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak tertentu tidak suka kerana kita menguatkuasakan undang-undang.

Dalam konteks polis, saya sudah biasa menghadapi ugutan bunuh dan sebagainya.

Semasa saya menjadi Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, sejak 1995 hingga ditukarkan ke Johor sebagai Ketua Polis Johor, banyak ugutan bunuh yang saya terima.

Kalau dalam konteks Islamic State (IS), arwah Mohd Wandy, rakyat Malaysia yang berada di Syria dan kini sudah terbunuh, mengarahkan agar elemen IS di Malaysia membunuh saya.

Kumpulan pengganas ini sudah membuat kajian dan risikan berkaitan pergerakan saya seperti jam berapa saya keluar joging, keluar pejabat, balik rumah dan sebagainya.

Memang ada elemen dia untuk membunuh saya, tetapi Alhamdulillah, kita berserah kepada Allah SWT.

Kita buat kerja ikhlas yang lebih bergantung kepada Allah SWT.

Saya juga pernah menerima ugutan bunuh daripada IS Indonesia yang memberi arahan kepada elemen mereka di Malaysia.

Dalam konteks Daish sahaja, kita sudah menahan lebih 500 suspek sejak 2014.

Saya ambil pendekatan untuk mencegah. Ada yang pertikai kenapa saya tangkap mereka yang hanya mempunyai risalah serta sebilah pisau?

Ia sudah jadi kesalahan di bawah kanun keseksaan kerana memiliki dan sebagainya.

Jadi saya tangkap di peringkat awal, yang hendak pergi ke Syria kita tahan. Ada lebih kurang 20 cubaan oleh IS untuk lancarkan serangan namun kami berjaya patahkan.

Kemudian, apabila saya tangkap elemen Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang 12 orang itu termasuk dua Adun, saya turut terima banyak ugutan daripada kumpulan kongsi gelap kerana mereka beranggapan tindakan yang saya ambil bersifat perkauman.

Ini bukan soal perkauman, ini isu keselamatan. Mengapa tidak timbul isu apabila saya tangkap anggota Daish yang terdiri daripada orang Islam.

Mengapa pula timbul isu apabila saya tangkap individu daripada kaum India yang ada kaitan dengan keganasan LTTE?

Ini yang saya tidak suka kerana bagi saya polis menguatkuasakan undang-undang tanpa mengira batasan kaum, bangsa atau agama.

Terbaru, ada tekong di negara jiran mula 'memetik' nama saya kerana marah operasi mereka sering gagal.

Kerja perlu ikhlas, yang lain serah pada Allah SWT. Itu kuncinya.

Jangan takut, kalau takut, tak payah jadi pemimpin, pergi tukar profesion.

Ramai yang terkejut dengan pembabitan anggota agensi penguatkuasaan yang sepatutnya menjaga kedaulatan negara.

Sebenarnya, isu Pati ini, semua orang tahu berkaitan pembabitan anggota agensi penguatkuasaan. Mungkin ada tindakan diambil, tetapi tidak agresif seperti sekarang.

Penyeludupan migran ini tidak akan berakhir selagi ada pembabitan orang dalam.

Contoh, kita dapat maklumat ada sindiket penyeludupan migran masuk melalui Sungai Rengit, kita kongsi maklumat itu namun orang dalam serahkannya kepada tekong, mereka akan ubah haluan ke lokasi lain seperti ke Bandar Penawar.

Jadi, orang dalam atau elemen dalaman ini yang perlu kita ambil tindakan.

Sudah ramai yang kita tahan membabitkan anggota serta pegawai PDRM, Polis Marin, ATM dan Imigresen.

Isu utama di sini ialah pengkhianatan yang mereka lakukan, kita juga perlu tegas terhadap pengkhianat seperti ini.

Tidak ramai pegawai polis yang seberani Datuk. Itu kenyataan daripada masyarakat yang bangga dengan pencapaian Datuk dan IPK Johor.

Saya pernah dipuji dan dikeji. Dalam PDRM, bukan saya seorang, di Perak, Ketua Polis Perak pun ada tangkap tiga anggota polis di Balai Polis Hutan Melintang yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran, tapi mungkin publisiti kurang sikit.

Ada tangkapan di tempat lain namun yang paling banyak di Johor.

Bukan Johor saja yang lakukan operasi seperti ini cuma banyak aktiviti berlaku di negeri ini.

Johor bebas daripada penyeludupan migran, adakah ia misi mustahil atau boleh dicapai?.

Bagi saya, tiada yang mustahil, semua ini boleh dicapai namun ia perlukan komitmen tinggi serta usaha keras berterusan.

Ia bukan komitmen anggota dan pegawai PDRM Kontinjen Johor saja malah semua agensi penguatkuasaan.

Tugas serta amanah ini bukan untuk kepentingan kita saja, bukan kepentingan PDRM saja, tetapi untuk kepentingan negara.

"Mustahil Datuk, benda ini sudah berpuluh tahun di Johor, tidak ada seorang pun mengatasi 'dia' Datuk, tak payah buang masa Datuk".

Itu antara ulasan yang saya terima.

Bagaimanapun, saya tidak akan berhenti, jika tidak boleh buat 100 peratus, buat 80 peratus, kalau tidak boleh, buat 70 peratus.

Tapi pastikan ada perubahan. Saya akan pastikan perkara itu dibuat dahulu. Boleh atau tidak, itu perkara lain. Insya-Allah, semuanya akan berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 10:00 AM
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, ketika temuramah khas mengenai isu Migran dan Pati, di Pejabatnya IPK Johor. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, ketika temuramah khas mengenai isu Migran dan Pati, di Pejabatnya IPK Johor. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN