HAZRAT akui teruja dapat peluang berlakon drama Panggil Aku Dahlia.
HAZRAT akui teruja dapat peluang berlakon drama Panggil Aku Dahlia.
Najiy Jefri


Biarpun sudah memiliki pekerjaan yang selesa sebagai salah seorang perunding insurans takaful, namun pendatang baharu dikenali sebagai Hazrat Muaz nekad mahu mencuba nasib dalam bidang lakonan.

Sebagai permulaan untuk dirinya menapak dalam karier lakonan, Hazrat mengakui dia ada mengikuti kelas lakonan terlebih dulu bersama beberapa guru termasuk Lan Siro dan Jaja Ishak sebelum masuk set penggambaran drama.

Kata Hazrat, dengan ilmu yang diperoleh itu dia mula membina kepercayaan bekerja dengan p

roduksi Jaja Ishak Channel Sdn Bhd yang juga penerbit pertama berjaya mengesan bakat seni dalam dirinya dengan memberikan watak pelakon pembantu untuk drama Panggil Aku Dahlia.

"Bukan mudah sebenarnya mahu mendapat dan membina kepercayaan orang lain kepada kita. Bila sudah dapat peluang, saya perlu lakukan yang terbaik bagi membalas jasa mereka. Sebab itu, saya suka berada di set penggambaran dan bercampur dengan pelakon senior.

"Mereka (pelakon senior) semua tidak pernah lokek ilmu pengetahuan dan dalam masa sama membantu orang baharu seperti saya untuk ke hadapan," kata anak kelahiran Pahang ini.

Meskipun baharu menceburi industri hiburan, Hazrat bersyukur kerana sudah dilamar membintangi beberapa naskhah karya seperti telefilem Lafaz Yang Termakbul untuk RTM, diikuti drama Elhan Untuk Nian (Salam HD) serta program Travelog Pahang First, Dokumentari Permata Tanjung Gahai dan beberapa produk lain lagi.

Sebagai bakat baharu, Hazrat juga rajin mencari banyak peluang, termasuk menghadiri pelbagai uji bakat yang dijalankan pihak produksi. Tambahnya, pengalaman itu amat berguna meskipun ada kala akan pulang dengan perasaan hampa.

"Apabila menghadiri uji bakat, ada kala saya rasa begitu kerdil sekali. Pelakon yang lain datang membawa pengalaman, sedangkan saya masih digelar orang baharu. Namun, itu membuatkan saya bersemangat merebut peluang yang ada.

"Tapi, melalui uji bakat ini juga sebenarnya saya mendapat beberapa tawaran berlakon. Alhamdulillah, semuanya dengan izin Allah. Saya hanya berusaha dan selebihnya saya serahkan kepada Yang Maha Kuasa," katanya.

Dalam masa sama, Hazrat juga tidak menyangka apabila video yang dimuat naik secara suka-suka di aplikasi TikTok memberi rezeki berganda buat dirinya yang berjiwa besar untuk menjadi pelakon berjaya

"Sebenarnya saya buat video di TikTok itu secara suka-suka saja. Tapi, tak sangka pula video berkenaan mendapat sambutan hangat daripada pengguna sehingga mencecah jumlah tontonan yang tinggi dan menerima pelbagai komen peminat.

"Bila video berkenaan 'blow up', ada beberapa tawaran berlakon datang kepada saya. Alhamdulillah, saya pula meminati bidang ini sejak dulu dan rasanya ini peluang terbaik buat saya menceburi bidang seni seperti yang diimpikan dari dulu lagi," katanya.

Meskipun masih baharu, pemuda yang berusia 29 tahun ini amat teruja apabila dirinya dilamar membintangi drama Panggil Aku Dahlia yang tamat penggambaran pada hujung bulan ini.

Jelasnya, dia teruja membawakan watak King Shah selain dapat bergandingan dengan beberapa nama pelakon berkaliber lain seperti Datuk Seri Eizlan Yusof, Zila Bakarin, Azah Aziz, Lisdawati dan Raja Azmi yang sememangnya hebat.

"Bukan mudah sebenarnya untuk saya menceburi bidang ini, memandangkan tiada pengalaman. Tapi, apa yang membanggakan saya adalah pelakon yang lebih senior ini memberikan banyak tunjuk ajar kepada saya untuk menghidupkan watak diberi.

"Justeru, saya sangat menghormati sikap baik yang ditunjukkan mereka (pelakon senior) sepanjang penggambaran. Saya sendiri juga perlu membuang rasa malu dan kekok untuk memberikan hasil yang terbaik untuk produksi," katanya

.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2024 @ 6:17 AM