Pelakon Zarina Zainuddin. Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Pelakon Zarina Zainuddin. Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Ramlah Zainal


Petaling Jaya: Pelakon Zarina Zainuddin mendedahkan penurunan berat badan mungkin menjadi salah satu faktor dirinya nampak awet muda daripada usia sebenar.

Menurut Zarina, 52, berat badannya juga turun sebanyak 12 kilogram selepas menjalani pembedahan bariatrik sekitar Ogos lalu.

"Saya cuma kurus sikit dan badan nampak kecil. Bukan cantik manapun, saya sudah tua," katanya ketika diminta mengulas penampilan dirinya yang nampak awet muda dari usia sebenar sekali gus mencuri perhatian netizen ketika ini.

Mengenai penampilan terbarunya juga, kata Zarina, dia bersyukur kerana selepas buat pembedahan bariatrik, dirinya sudah boleh memakai kasut tumit tinggi kerana sebelum ini kaki dan tumitnya sakit.

"Saya melakukan pembedahan itu atas sebab kesihatan. Tanyalah orang yang memiliki tubuh badan yang agak berat, mereka pun akan cakap benda yang sama," kata Zarina ditemui pada sidang media program bual bicara Women Talk musim 4 untuk siaran TV3 yang berlangsung petang semalam.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan dirinya melakukan pembedahan hidung pula untuk tujuan kecantikan, Zarina berkata, dia tahu apa yang dilakukan serta tidak kisah dengan komen netizen.

Katanya, ramai artis yang melakukan pembedahan hidung tetapi mereka tidak mengakuinya.

"Korang pergi lah buat hidung. Ramai je artis yang buat hidung, cuma mereka tak beritahu je.

"Semua buat hidung, cuma tak mengaku je. Saya pula yang kena sorang-sorang. Bila babitkan saya, semua orang sibuk," katanya.

Terdahulu, Zarina pernah menjalani pembedahan membuang cecair pada bahagian hidungnya kerana mengalami masalah sinus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 2:16 PM