Loque Monoloque
Loque Monoloque
Norhayati Nordin


 

Kuala Lumpur: Nama Bayi Tabung Uji digunakan penyanyi dan komposer, Loque, 45, untuk 'projek band kolaborasi' bersama penyanyi, Asmidar sebelum akhirnya dikenali sebagai Gostan.

Loque yang juga pemain gitar Butterfingers berkata, idea nama band Bayi Tabung Uji itu muncul spontan di fikirannya dan dirasakan unik, namun dinasihati rakan pemuzik lain supaya menukarnya kerana kurang sesuai.

"Saya memang terfikir nama Bayi Tabung Uji itu sesuatu yang unik dan menarik. Namun, Loko dan Bakri mengingatkan saya ia tidak sesuai berikutan bimbang pandangan buruk orang lain terhadap Asmidar nanti.

"Biasalah dalam dunia media sosial masa kini, pandangan dan penerimaan setiap orang berbeza. Pada kita, mungkin biasa saja dan tidak membawa maksud yang jauh kerana perjuangannya pada karya seni. Tapi, orang lain kita tidak tahu mereka fikirkan apa pula ," katanya kepada Harian Metro.

Menerusi projek band kolaborasi Gostan yang turut dianggotai Loko, Bakri Ismail, Memey dan Harry Misteri itu, mereka muncul mempertaruhkan lagu Dia Datang nyanyian asal Raja Gambus iaitu Allahyarham Fadzil Ahmad.

Pada tahun lalu, bersama Asmidar juga Gostan tampil dengan lagu Tak Seindah Wajah yang pernah dirakamkan penyanyi asalnya, Allahyarham Tan Sri SM Salim yang mendapat sambutan baik pendengar.

Loque berkata, dia juga sangat berpuas hati bekerja dengan Asmidar yang sememangnya memiliki vokal lunak menyanyikan lagu-lagu tradisional Melayu.

Katanya, maklum balas daripada pendengar juga mahukan kerjasama mereka yang berterusan.

Mengulas perancangan Gostan seterusnya, Loque berkata, mereka merancang menerbitkan album digital sekiranya ada rezeki. 

Katanya, buat masa ini kalau diikutkan Gostan sudah merakam semula empat lagu tradisional Melayu yang diberi nafas baharu.

Selain melancarkan lagu Dia Datang, Loque bersama MonoloQue pula melancarkan satu single baharu kumpulan itu berjudul Lagu Cinta hasil ciptaannya yang menceritakan hubungan kasih sayang dengan kekasih, ibu bapa, keluarga, adik-beradik dan sebagainya.

Muzik video lagu Dia Datang yang menampilkan kemunculan istimewa pelakon, Azhar Sulaiman dan muzik video Lagu Cinta juga sudah dimuat naik di YouTube sejak 6 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 6:26 PM