M Nasir sebagai Haji Mihad dalam filem Imam.
M Nasir sebagai Haji Mihad dalam filem Imam.
Najiy Jefri


NOVEL karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain berjudul Imam diangkat ke layar perak pada 2 Mac depan.

Pengarah filem Imam, Mior Hashim Manap berkata, dia tertarik untuk menghasilkan filem Imam kerana mesej karya novel itu cukup hebat.

"Ketika saya membaca novel ini sekitar 2013, saya tertarik dengan pemikiran yang dibawa Abdullah sehingga ia menjentik hati saya menghasilkan filem Imam.

"Ia berlatarkan 1983 dan antara inti pati menarik dalam novel ini apabila menggambarkan orang Melayu ketika itu cenderung kafir-mengkafir, selain peranan masjid yang hanya digunakan untuk solat, sedangkan banyak fungsinya yang lain," katanya.

Menurut Mior, dia tidak mengubah karya asal meskipun agak sukar untuk mengadaptasi keseluruhan novel yang setebal 705 halaman.

"Untuk filem ini, saya lebih banyak menumpukan kepada konflik yang berlaku antara watak Haji Mihad lakonan Datuk M Nasir dan Haji Syamsuri (Faizal Hussein).

"Bagi saya, Imam adalah sebuah novel yang hebat, termasuk Abdullah sendiri selaku pengarangnya.

"Ketika skrip ini siap pada peringkat awal sekitar 2013, saya sukar mencari penerbit yang berminat dan selepas itu saya mendiamkan diri sekitar 2016.

"Kemudian saya perkemaskan skrip Imam, tetapi masih sukar mendapatkan penerbit yang berminat. Akhirnya tiga tahun lalau saya ambil keputusan menjadi penerbit dan bersyukur kerana usaha saya ini disokong Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas)," katanya.

Filem Imam terbitan Alkahfi menampilkan barisan pelakon hebat antaranya Datuk M Nasir, Faizal Hussein, Vanida Imran dan Natasha Charmain.

Imam mengisahkan perjuangan imam iaitu Haji Mihad yang ingin membawa pembaharuan di kampungnya sendiri.

Namun, mendapat tentangan daripada sebahagian penduduk kampung yang seagama dan sebangsa, malah dari saudara-maranya sendiri.

Selain itu, Haji Mihad juga didakwa membawa ajaran baharu yang agak asing bagi kampung itu sehingga mendapat perhatian pihak majlis agama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 6:45 AM