Gambar kiri - Meerqeen mencium dahi Kiky manakala gambar kanan Kiky mencium pipi Meerqeen.
Gambar kiri - Meerqeen mencium dahi Kiky manakala gambar kanan Kiky mencium pipi Meerqeen.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: PELAKON Meerqeen mencetuskan kontroversi apabila mencium pelawak terkenal Indonesia, Kiky Saputri ketika menghadiri beberapa program hiburan dan sesi bertemu peminat di Indonesia baru-baru ini.

Menerusi video yang dimuat naik Kiky di Instagram dan TikTok, Meerqeen terlebih dahulu mencium dahi Kiky, kemudian pelawak terbabit membalas dengan mencium pipi Meerqeen.

"Tidak mengapa kalau tak cantik yang penting kamu (Meerqeen) sayang sama saya," tulis Kiki di ruangan kapsyen di Instagram miliknya.

Perkongsian Kiky di Instagram meraih perhatian ramai apabila mendapat lebih 320,000 tontonan dan 2,200 komen.

Kebanyakan komen yang ditinggalkan menyukai aksi spontan kedua-dua selebriti itu yang mesra dan akrab.

Sebelum ini, Meerqeen turut mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan peminat tempatan apabila aktor terbabit membiarkan seorang peminat wanita di Indonesia memeluknya.

Difahamkan, peminat terbabit sudah meminta izin untuk memeluk pelakon berusia 21 tahun itu terlebih dahulu.

Meskipun, wajah Meerqeen seperti ragu-ragu dengan permintaan peminatnya itu, namun dia tetap melayannya.

Harian Metro cuba menghubungi Meerqeen bagi mendapatkan komen lanjut berhubung video yang tular, namun panggilan dan mesej yang dihantar tiada balasan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 3:53 PM