Lisa bersama anaknya.
Lisa bersama anaknya.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Tanpa kehadiran suami, Datuk Yusry Abdul Halim yang terpaksa ke Johor untuk urusan kerja, Datin Lisa Surihani tetap melaksanakan ibadah korban bersama anak-anak dan ibunya.

Lisa yang dihubungi berkata, dia sudah beberapa kali menyempurnakan ibadah korban namun berbeza kali ini kerana dapat membawa anak-anak menyaksikannya.

"Semasa pandemik saya hanya serahkan kepada pihak yang menguruskan, namun selepas pandemik, pihak surau benarkan semula aktiviti korban dengan kehadiran kariah.

"Saya gunakan peluang ini bawa anak-anak yang makin membesar Yahaira Leanne, 6, Yusof Leonne, 5, dan Yunos Laith, setahun.

"Yunos memanglah tak faham tapi Yahaira dan Yusof tahulah sebab mereka ada belajar berkenaan korban di sekolah agama mereka. Jadi mereka tahu serba sedikit," katanya kepada Harian Metro.

Lisa berkata, pada usia anak-anaknya sekarang, mereka tidak sesuai untuk melihat aktiviti korban.

"Sesetengah budak boleh tapi untuk anak-anak saya belum masanya untuk saksikan korban. Saya dan emak yang saksikan.

"Saya ambil satu bahagian dan emak satu bahagian. Tapi insya-Allah seperti yang asatizah sarankan, insya-Allah kalau boleh kita sasarkan korban yang lebih banyak lagi selepas ini.

"Saya harap moga diizinkan supaya dalam tahun akan datang supaya kita bertemu semula pada Aidiladha dan kita dapat beramal dengan lebih lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 2:45 PM