HOS Kamal Adli (kiri) dan Ain Edruce (kanan) bersama juri jemputan Hael Husaini pada pentas separuh akhir LCK3 minggu lalu.
HOS Kamal Adli (kiri) dan Ain Edruce (kanan) bersama juri jemputan Hael Husaini pada pentas separuh akhir LCK3 minggu lalu.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Program Lagu Cinta Kita musim ketiga (LCK3) bakal menobatkan juara baharu pada pentas final Ahad ini, jam 9 malam di TV3 yang menawarkan hadiah wang tunai RM50,000 untuk juara.

Empat pasangan bakal berentap merebut gelaran itu ialah Achik dan Maria, Hariz dan Wanie, Pasya dan Puteri serta Syafeek dan Zazo.

Penerbitnya, Muhammad Saiful Saharudin berkata, pertarungan kemuncak itu pastinya cukup menarik dan amat sukar untuk menentukan siapa bakal bergelar juara.

"Kami selaku produksi sudah bersama mereka sejak awal program sehinggalah minggu-minggu seterusnya. Bukan mudah terutama apabila mencari keserasian memasangkan setiap penyanyi.

"Perkembangan ditunjukkan mereka cukup mengagumkan kami. Masing-masing berhempas-pulas untuk menampilkan persembahan menjelang pentas akhir nanti.

"Sebagai orang terdekat yang sudah melihat bagaimana mereka memperbaiki kualiti nyanyian, susah nak ramal siapa lebih bagus. Ini kerana setiap pasangan memiliki kelebihan tersendiri," katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif LCK3, Shazreena Mohd Kassim berkata, pelbagai kejutan sudah diatur bagi memeriahkan pentas akhir LCK3, Ahad ini.

Bagaimanapun, perjalanan acara tetap menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 selain memperingati mangsa banjir.

"Paling kami tekankan semestinya lagu baharu yang dicipta khas bakal bakal dipertandingkan setiap pasangan selain sebuah lagi lagu pilihan. Buat julung kalinya, Ini adalah pembaharuan musim ini. "Pemeriksaan berkala dan ujian calitan juga dibuat terhadap semua yang terbabit termasuk peserta sebelum dibenarkan beraksi. Kami juga memastikan hos menghebahkan mengenai tabung sumbangan membantu mangsa banjir," katanya.

LCK3 menampilkan Ain Edruce dan Kamal Adli selaku hos pada musim ini, manakala juri tetap terdiri daripada komposer tersohor, Ajai dan penyanyi dangdut Mas Idayu.

Juara LCK3 bakal membawa pulang wang tunai RM 50,000, naib juara RM 30,000 dan tempat ketiga RM20,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 5:24 PM