ADIK Sherie bersama suami dan anak-anaknya yang disahkan positif sudah kembali ke rumah.
ADIK Sherie bersama suami dan anak-anaknya yang disahkan positif sudah kembali ke rumah.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Sherie Merlis, 49, tidak merasakan golongan selebriti mendapat layanan istimewa setiap kali mereka meminta bantuan apabila berdepan kesusahan seperti tanggapan segelintir pihak.

Sherie berkata, dia menafikan hanya kerana mereka golongan selebriti, masalah mereka yang lebih didengari atau diselesaikan dulu.

"Saya tak rasa begitu. Pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) sudah berikan perkhidmatan yang sebaiknya kepada semua masyarakat dan rakyat Malaysia. Kami hanya wakil yang dapat suarakan masalah kekurangan dan kelemahan ini seandainya dapat diperbaiki oleh KKM," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Sherie merayu kepada pengikutnya di Instagram selepas buntu untuk mendapatkan pusat kuarantin buat adik perempuannya yang positif Covid-19.

Dalam perkongsian video berdurasi empat minit 42 saat itu, Sherie yang kelihatan sugul jelas sangat risau dengan keselamatan ahli keluarga terutama ibu bapanya serta enam kanak-kanak yang berada di dalam rumah itu.

Ini kerana rumah didiami tidak sesuai buat adiknya untuk menjalani kuarantin.

Bagaimanapun, kurang 24 jam selepas video itu tular, adik perempuan Sherie serta suami dan anak mereka dibawa ke pusat kuarantin.

Sherie juga menyeru supaya KKM memperbaiki kelemahan yang ada dan mencari penyelesaian terbaik bagi membantu rakyat terutama pesakit Covid-19.

Sherie berkata demikian dalam sesi siaran langsung di Instagram miliknya yang turut disertai pengasas Klinik Mega Zahran, Ummul Khairiyah Abdul Rahman dan ketua pegawai klinik itu, Dr Sazarul Zafira Zainal Abidin, semalam.

"Saya juga tidak pernah menyalahkan petugas barisan hadapan kerana kita sedia maklum betapa penatnya kerja mereka dan sudah lakukan sehabis baik. Namun, saya benar-benar berharap supaya pihak berwajib dapat memperbaiki sistem mereka ke arah yang lebih cekap," katanya.

Dalam pada itu, Sherie turut bersyukur apabila dia termasuk ahli keluarga lain sudah selesai menjalani tempoh kuarantin termasuk empat ahli keluarga yang positif Covid-19.

"Kami semua sudah potong gelang kuarantin pada 1 September lalu. Alhamdulillah, rasa lega apabila semua sudah semakin sihat dan kembali ke rumah. Terasa macam beban emosi itu sudah hilang.

"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu saya dan keluarga sebelum ini. Saya betul-betul terharu dan tak sangka menerusi video yang saya buat tempoh hari, ramai yang tampil untuk membantu.

"Ini kerana pada awalnya saya rasa seperti mustahil ada orang akan bantu. Syukur, suara saya didengari dan ramai yang membantu.

"Video yang saya muat naik sebelum ini memang tepat pada waktunya. Itu adalah jalan terakhir selepas saya buntu. Alhamdulillah berkat bantuan Datuk Fizz Fairuz dan wakil Klinik Mega Zahran segala proses berjalan dengan cepat termasuk empat ahli keluarga yang positif di bawa ke pusat kuarantin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 1:48 PM