Nur kini di Indonesia.
Nur kini di Indonesia.
Oleh Georgie Joseph


Petaling Jaya: Drama bersiri Nur arahan Shahrulezad Mohameddin yang pernah mencetuskan fenomena kini ditayangkan di stesen MNCTV Indonesia serta semua rangkaian platform MNC Media bermula hari ini.

Ia adalah projek kerjasama Sistem Televisyen Malaysia Berhad dengan MNCTV untuk memperkenalkan lagi drama terbabit ke negara seberang itu.

Ketua Pegawai Kandungan, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof berkata, pihaknya teruja dengan kerjasama ini dan ia adalah satu langkah tepat berikutan populariti drama Nur dan serta jumlah tontonan luar biasa yang dicapai menerusi saluran TV3 sebelum ini.

"Kami juga gembira kerana dapat memainkan peranan penting dalam memperluaskan lagi sayap drama ini ke luar negara," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Program MNCTV, Endah Hari Utari turut berbesar hati dapat menayangkan drama hebat itu kepada penonton Indonesia dan yakin Ramadan waktu tepat untuk berbuat demikian.

"Drama Nur ini sangat menarik, menghiburkan dan memiliki sebuah hasil produksi yang hebat. Inilah alasan utama kami memilih Nur.

"Ia akan menjadi tambahan variasi kepada kandungan sedia ada dan berbeza berbanding program-program yang biasa ditayangkan di MNCTV sebelum ini. Kami juga yakin drama ini akan mengimarahkan lagi suasana bulan Ramadan dalam MNCTV," katanya.

Sementara itu, Shahrulezad terharu dengan pencapaian Nur walaupun sudah diterbitkan beberapa tahun lalu.

Menurutnya, dia yakin hasil produksi yang baik pasti berbaloi untuk terus disebarkan.

"Kalau ikutkan, Nur sudah beberapa tahun ditayangkan tapi permintaan tetap berterusan dan selepas ditayangkan di Singapura, kini ia ditayangkan di Indonesia pula.

"Nur adalah karya yang tidak lapuk ditelan zaman. Ia akan tetap relevan untuk memberi pengajaran kepada penonton dan syukur mesejnya memang berjaya meninggalkan kesan," katanya.

Drama yang ditayangkan pada 2018 itu dibintangi barisan pelakon handalan seperti Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Azar Azmi, Noorkhiriah, Azhan Rani, Raja Atiq, Eyra Hazali, Datuk Jalaluddin Hassan dan Fatimah Abu Bakar.

Nur mengisahkan dilema kisah cinta dua insan dengan latar belakang berbeza, cinta terlarang ustaz muda dengan pelacur bernama Nur yang digelar 'gadis lorong' serta tidak mendapat didikan agama yang sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 2:56 PM