SISSY Imann. FOTO IG Sissy Imann
SISSY Imann. FOTO IG Sissy Imann
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi, Sissy Imann, 25, menjelaskan tindakannya membuat perkongsian video di Twitter mengenai pemanggil yang keliru di antara dia dengan penyanyi, Zizi Kirana baru- baru ini tidak bermaksud untuk memalukan individu berkenaan.

Terdahulu, pernah tular video Sissy yang menjadi tetamu jemputan dalam satu segmen rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) berdepan situasi lucu apabila seorang pemanggil yang menghubunginya di studio keliru dan menyangka dia adalah Zizi Kirana.

Sissy dihubungi berkata dia sebenarnya bangga dengan sikap keyakinan diri individu berkenaan yang sanggup membuat panggilan secara langsung di TV untuk berbual dan memberi sokongan kepada artis kesukaannya.

"Saya suka dan kagum cara pemanggil itu yang sangat yakin dan ikhlas. Jujur diakui, bukan senang untuk seseorang penyanyi mendapatkan sokongan padu daripada peminat sebegitu.

"Cuma, apabila dia (pemanggil) tersilap penyanyi mungkin kerana keliru itu yang membuatkan situasi jadi lucu. Apapun, saya sangat hargai semangat dan usahanya nak memberi sokongan," katanya.

Menurut Sissy, perkongsian video tular di media sosial itu juga tidak mendapat kecaman daripada warganet. Sebaliknya, rata-rata netizen yang komen memaklumkan mereka berasa lucu dan terhibur.

Mengulas dirinya yang mungkin kurang popular, Siissy tidak menafikan. Katanya, dia tidak kisah pun dengan populariti kerana apa yang utama masih mendapat sokongan peminat.

"Saya sedar, memang nama Sissy belum popular pun. Tapi, tak apalah kerana saya masih perlu gigih berusaha untuk memperjuangkan bakat seni ini. Saya akan terus bersemangat.

"Bagaimanapun, impak tular daripada insiden pemanggil yang keliru itu, saya kini sering di panggil Zizi Kirana, Eh Eh. Bagi saya, tak apa dan suka hatilah nak panggil apa pun.

"Saya dengan Zizi sebenarnya pernah bekerjasama membuat persembahan virtual dalam satu program dikenali Nyanyi Di Rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu. Mungkin, dari situ, ada penonton yang keliru tentang kami.

"Apapun, sebelum ini ada juga pihak media yang keliru gambar saya dan penyanyi Wani Kayrie. Jadi, mungkin nasib wajah saya agaknya mudah buat orang jadi keliru," katanya.

Tidak kecewa mahu pun berasa hati dengan perkara itu, Sissy berkata dia tetap gembira dan bersyukur apabila lagu nyanyiannya berjudul Gundah dipilih menjadi lagu tema (OST) untuk filem Aku Bukan Gila lakonanĀ  Fasha Sandha, Beto Kusyairy dan Wanna Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 5:02 PM