SASHA bersama Sirhan pada Majlis Sandingan, di The Sanctuary Kuala Lumpur. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN.
SASHA bersama Sirhan pada Majlis Sandingan, di The Sanctuary Kuala Lumpur. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN.
Georgie Joseph


PELAKON dan penyanyi Sasha Saidin, 43, tertarik dengan keikhlasan serta sifat berterus-terang Sirhan Wahab, 43, sekali gus berjaya mengetuk hatinya untuk kembali berkahwin.

Sasha atau nama sebenarnya Sasha Mohd Saidin berkata, apa yang membuatkan dia tersentuh apabila Sirhan sedia menerima dan berjanji menjaga anaknya Adam Aryasenna Notosoemarsono, 11, dengan baik.

“Selama saya bergelar ibu tunggal hampir sembilan tahun, bukannya tiada yang cuba mendekati saya. Tapi dalam ramai-ramai dialah berjaya mengetuk hati saya.

“Dia suka berterus-terang dan sedia menerima saya dan anak saya seadanya. Saya melihat dia juga sangat stabil untuk menggalas tanggungjawab ini,” katanya.

Sasha sah bergelar isteri kepada Sirhan dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan di The Sanctuary, Kuala Lumpur jam 9.28 malam semalam.

Bekas anggota kumpulan Elite itu dinikahkan adiknya juga pelakon, Zain Saidin di hadapan keluarga dan rakan terdekat.

Pada majlis itu, Sasha menerima mas kahwin RM1,000 berserta tiga dulang hantaran daripada pihak lelaki dengan wang hantaran RM10,000, manakala pihak perempuan menyerahkan lima dulang.

Sementara itu, Sirhan berkata, Sasha adalah jodoh terbaiknya dan menganggap dipertemukan kepadanya tepat pada waktunya.

“Saya tahu kami memang ditakdirkan untuk bersama. Saya sukakan Sasha kerana dia seorang yang sangat menyenangkan dan ringkas dalam membuat keputusan,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu adalah rakan anggota Elite seperti Azza Zawari, Linda Rafar dan Watie Sadali.

Sasha yang juga anggota kumpulan Elite pernah berkahwin dengan Johan Abdullah Skinner pada 2003 namun bercerai empat tahun kemudian.

Pada 2007, dia berkahwin dengan warga Indonesia, Salyo Priyanto tetapi bercerai pada 2012. Hasil perkahwinan dengan Salyo, mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Adam Aryasenna Notosoemarsono, 11.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 7:13 PM