HANS Isaac
HANS Isaac
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PENGERUSI Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac menolak tanggapan mengatakan dirinya mahu mengawal agensi terbabit selepas dakwaan kononnya Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri digantung.

Hans berkata, beliau tahu wujud pelbagai tohmahan ke atas dirinya dan ia disebabkan pihak yang menuduh tidak mengetahui maklumat sebenar.

Katanya, setakat ini beliau tidak memiliki sebarang masalah bersama Ahmad Idham termasuk dakwaan yang mengaitkan dirinya mahukan kuasa sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas.

Dalam perkembangan berkaitan, Hans berkata, tempoh perkhidmatan Ahmad Idham dipendekkan sehingga 10 Mac tahun depan adalah atas kemahuan Ahmad Idham sendiri.

“Dua minggu lalu, Ahmad Idham memohon perkhidmatannya dipendekkan biarpun jawatan itu sah sehingga 10 Mei 2021. Kami tidak memaksa atau menekan tetapi dia mahu berkhidmat selama setahun,” katanya ditemui pada Program Bicara Berita Harian (BH), Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di New Straits Times Press (M) Berhad, di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya menghormati pendirian itu dan menghargai sumbangannya sepanjang lapan bulan malah akan meneruskan semua agenda yang diketengahkan.

“Antara alasan yang diberikan Ahmad Idham adalah masalah peribadi dan keputusan dibuat selepas perbincangan diadakan.

“Buat masa ini dia masih Ketua Pegawai Eksekutif Finas dan kami melaksanakan tugas mengikut akta sedia ada dalam Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya.

Menurut Hans, dakwaan berhubung penggantungan tugas itu timbul mungkin disebabkan beberapa kenyataan dan kontroversi yang pernah dikeluarkan Ahmad Idham sebelum ini.

“Saya baru berjumpa dia minggu lalu dan terbaru dia mengirimkan WhatsApp pagi tadi. Sepatutnya dia perlu bertemu Ketua Menteri Pulau Pinang, hari ini tetapi tidak berkesempatan lalu mewakilkan saya,” katanya.

Ketika ditanya wujud masalah dalam kepimpinan baharu Finas, Hans berkata, ia tidak dirancang.

“Apa yang berlaku ketika ini disebabkan Ahmad Idham tidak mahu meneruskan perkhidmatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan itu pendirian dia,” katanya.

Berkaitan Ketua Pegawai Eksekutif Finas baharu pula, beberapa nama sedang dikenal pasti dengan pihaknya memberi peluang kepada semua pihak untuk menjawatnya.

Hans dalam pada itu meminta pihak industri tidak menuding jari kepada pihaknya kononnya tidak memperjuangkan industri kreatif.

“Kami bukan Superman. Selain isu Perkeso dan KWSP, kami sedang memperjuangkan duti hiburan, bajet terbaru tahun hadapan selain beberapa perancangan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 6:54 PM