HAEL Husaini
HAEL Husaini
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Hael Husaini menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa dia yang akan menyanyikan lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Anta Permana yang diciptanya sekiranya lagi itu layak ke peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik 34 nanti.

Status mengenai siapa bakal menyanyikan lagu itu masih menjadi teka-teki selepas Siti kekal dengan keputusan tidak akan bertanding pada acara itu.

Hael berkata, dia tidak layak menyanyikan lagu itu sebaik yang disampaikan Siti.

“Lagu Anta Permana dihadiahkan kepada Siti. Lagu itu saya cipta hanya untuk Siti. Kami masih lagi berbincang untuk mencari siapa yang layak atau boleh menyanyikan lagu itu. Insya-Allah, jika sudah ada keputusan nanti, kita akan beritahu. Saya fikir biar pihak Siti sendiri yang beritahu,” katanya kepada Harian Metro.

Hael mengakui, dia ada berbincang dengan Siti mengenai siapa yang sesuai menyanyikan lagu itu nanti.

“Ada perbincangan ringkas, tapi belum ada yang betul-betul muktamad,” katanya.

Dalam masa sama, Hael tidak ralat dengan keputusan dibuat Siti itu.

“Ralat itu tidak, tapi saya bersama Ezra Kong selaku komposer tentu saja setiap lagu yang dibuat adalah nyawa dan jiwa penyanyi itu sendiri.

“Namun, kita menghormati keputusan penyanyi jika dia tidak mahu menyanyikan lagu itu. Insya-Allah, jika tiada pengganti juga, mungkin kita tengok cara terbaik yang boleh dilakukan dengan lagu itu.

“Saya tetap rasakan hanya Siti yang boleh nyanyikan lagu itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 2:23 PM