YUKO (kiri) dan Shihori.
YUKO (kiri) dan Shihori.
ANTARA babak dalam Miss Sherlock.
ANTARA babak dalam Miss Sherlock.
Michelle Gun


Kisah klasik penyiasat tersohor Sherlock Holmes sudah banyak kali diangkat ke layar perak dan drama bersiri.

Kini kecekapan penyiasat itu dalam menyelesaikan kes jenayah akan diadaptasi ke siri versi Jepun berjudul Miss Sherlock.

Bezanya, watak Sherlock dan rakan penyiasat Dr Watson diubah kepada wanita yang dibintangi Yuko Takeuchi serta Shihori Kanjiya.

Berlatarkan suasana moden Tokyo, Jepun, siri terbitan bersama HBO Asia dan Hulu itu mengisahkan pakar bedah Dr Wato Tachibana kembali ke tanah airnya selepas menyelesaikan misi di Syria.

Dia kemudian berganding dengan Sherlock untuk menyelesaikan kes rumit.

Saksikan dua sahabat ini menggunakan kepakaran serta kebijaksanaan masing-masing untuk merungkai pelbagai kes misteri.

Barisan pelakon lain yang membintangi dalam Miss Sherlock adalah Kenichi Takito, Tomoya Nakamura, Yukiyoshi Ozawa dan Ran Ito.

Sebelum ini, BBC One turut menerbitkan siri mengisahkan penyiasat hebat itu untuk empat musim.

Menamatkan musim keempat Januari tahun lalu, watak Sherlock dibintangi pelakon terkenal Benedict Cumberbatch dan Martin Freeman sebagai Dr Watson.

Miss Sherlock akan bersiaran serentak di 20 negara Asia di saluran HBO dan Hulu pada jam 9 pagi, 27 April ini.

Siaran ulangan siri ini pada jam 9 malam dan episod baru akan ke udara pada setiap Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 5:30 AM