HARAP kerjaya melonjak pada 2018.
HARAP kerjaya melonjak pada 2018.
Ayda Jebat

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Sepanjang minggu ini pastinya jutaan manusia dan mungkin lebih mengucapkan ‘Selamat Tahun Baru 2018’ dengan pelbagai hajat serta aspirasi.

Tidak ketinggalan, Adik juga dihujani ucapan tahun baru daripada keluarga, rakan dan peminat tercinta.

Ucapan tahun baru ini tentunya menyorot kepada 1,001 harapan untuk hidup lebih bahagia, berjaya dan sejahtera, sekali gus mencapai kejayaan berganda.

Cerita untuk 2018, Adik nak kongsikan mengenai azam tahun baru Adik yang nak bangun seawal pagi.

Mungkin kedengaran kelakar tetapi orang cakap rugi kalau tak bangun sebelum azan Subuh berkumandang kerana banyak perkara boleh dibuat waktu itu.

Satu kajian mendapati individu yang bangun awal secara amnya terbukti lebih sihat, lebih bahagia dan hidup lebih proaktif.

Ramai dalam kalangan tokoh cemerlang dan berjaya masa kini yang mengamalkan budaya bangun awal serta memulakan aktiviti mereka seawal pagi.

Umat Islam wajib mengamalkan budaya ini kerana sudah pasti kita wajib menunaikan solat Subuh.

Bercerita mengenai azam kerjaya seni pula, Adik masih memilih naskhah yang baik untuk drama dan filem.

Doakan tahun ini Adik mendapat drama yang mampu melonjakkan nama Adik ke tingkat yang lebih tinggi dan yang paling penting, Adik mahu buat peminat berbangga dengan hasil kerja dipersembahkan.

Terima kasih untuk sokongan anda terhadap filem Pinjamkan Hatiku dan drama Dekatkan Jarak Kita yang membolosi rating sebanyak sembilan juta penonton di TV3.

Sama-sama kita dekatkan jarak kita lagi supaya hidup dihujani dengan kasih sayang dan cinta yang bersemi. Chewah!

DRAMA Dekatkan Jarak  Kita catat rating 9 juta penonton.
DRAMA Dekatkan Jarak Kita catat rating 9 juta penonton.

Untuk karier nyanyian pula, Adik menerima banyak lagu daripada komposer dan penulis terkenal. Insya-Allah hujung bulan ini atau awal Februari, Adik akan lancarkan satu lagu baru buat peminat. Doakan juga Adik dapat siapkan album mini kerana Adik tak sabar nak terus menunggu lagi. Adik sudah ada koleksi lagu yang cukup.

Selain itu, Adik ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada peminat yang tidak henti menyokong perjalanan seni Adik selama ini serta membawanya tinggi sehingga Adik mampu berdiri di tahap ini.

Seperti biasa, setiap tahun kelab peminat Adik iaitu AJ Screamer akan mengadakan aktiviti untuk Adik beramah mesra dengan mereka. Namun, tahun ini Adik rasakan ingin melawat lagi banyak rumah anak yatim dan orang tua.

Bukan apa, Adik rasa lebih dekat dan seronok apabila melihat peminat Adik melayan insan yang memerlukan ini.

Jelas terukir wajah keceriaan mereka dan Adik harap ia dapat direalisasikan lagi tahun ini. Doakan yang terbaik untuk Adik dan semua!

Bagaimanapun, ada sedikit cerita kurang menyenangkan yang Adik nak kongsi bersama pembaca. Sedar atau tidak, permulaan tahun 2018 Adik dimulakan dengan satu artikel yang tidak berapa seronok untuk dibaca dan berkepentingan sendiri.

Apatah lagi, Adik sudah jelaskan kepada penulis itu untuk tidak memberikan sebarang komen terhadap soalan yang diajukannya.

Namun, adik kecewa ia masih juga ditulis dan dikeluarkan di sebuah portal hiburan yang niatnya hanya dia sendiri tahu.

Apapun, Adik sama sekali tidak mempersoalkan hasil kerja penulis itu kerana dia seorang berkaliber tetapi adik cuma minta sedikit ruang dan hormati permintaan adik.

Keengganan Adik menjawab soalan yang diajukan itu pastinya bersebab. Ini kerana Adik tidak mahu menimbulkan spekulasi kepada orang ramai serta kesan buruk terhadap Adik, orang sekeliling dan pihak lain.

Bagi Adik, tidak perlulah wujud sikap ingin menjatuhkan sesama kita tidak kira sesiapa saja. Mungkin maklumat yang diperoleh daripada satu pihak itu belum sahih kebenarannya kerana mana tahu mungkin cerita dikongsi itu mengikut perasaan dan andaian semata-mata.

Setakat ini, rasanya kebanyakan media yang mengenali Adik tahu bahawa Adik seorang yang akan segera membalas dan menjawab soalan yang diberi tanpa perlu menunggu berhari-hari.

Adik harap dengan komitmen yang Adik berikan akan ada rasa tolak ansur dan hormat-menghormati sesama manusia dalam cerita yang ditulis.

Apapun, Adik ucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan portal itu di atas kerjasama diberikan. Adik sangat terharu dengan sikap hormat diberikan terutama membabitkan kerjasama, menghormati keputusan orang lain dan bertindak relevan.

Kita sama-sama cari makan, sama-sama memerlukan. Apapun, terima kasih kepada semua media yang masih mengekalkan etika bekerja dan banyak membantu Adik.

Adik harap masih menjadi ‘sweetheart’ anda semua. Jasa anda Adik kenang sampai bila-bila. Semoga tahun 2018 menjadi tahun yang baik buat kita semua hendaknya, Amin.

#DekatkanJarakKita

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 6:01 AM