Lima peserta akhir  AF Megastar. FOTO Sudirman Mohd Tahir
Lima peserta akhir AF Megastar. FOTO Sudirman Mohd Tahir
Sudirman Mohd Tahir

IDAYU, Bob, Marsha, Syamel dan Shahir diumum lima peserta akhir program AF Megastar yang bakal berlangsung minggu depan.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Amir J dan Amir tersingkir pada peringkat separuh akhir yang diadakan di Shah Alam malam tadi.

Menariknya, Shahir satu-satunya bekas juara Akademi Fantasia layak ke peringkat akhir.

Pada persembahan itu, setiap peserta diberi dua tugasan iaitu sebuah lagu hits radio dan berduet dengan penyanyi pilihan masing-masing.

Idayu yang berada di kedudukan kedua pada minggu lalu memukau menerusi lagu Kerna Ku Sanggup duet bersama Azharina dan Segala Perasaan nyanyian asal Datuk Siti Nurhaliza.

Bob yang cemerlang pada minggu lalu menyanyikan lagu Asal Kau Bahagia (Armada) dan Kerna Hati Ini Telah Dilukai duet bersama Dayang Nurfaizah.

Sementara Marsha pula memilih lagu Menahan Rindu (Wany Hasrita) dan Lay Me Down nyanyi bersama Jaclyn Victor.

Tidak mengecewakan persembahan Syamel menerusi lagu Sedalam Dalam Rindu (Tajul) dan Di Pintu Mahligai kolaborasi dengan Black.

Tidak terkecuali Shahir yang berjaya menyampaikan lagu Warkah Untukku (Ara) dan Hello duet bersama Awi Rafael dengan cukup baik.

Pada konsert separuh akhir itu, Idayu turut diumumkan sebagai Star of The Week hasil undian peminat.

Keputusan adalah berdasarkan penjurian 60 peratus daripada juri dan 40 peratus daripada undian peminat.

Konsert AF Megastar dihoskan oleh Datuk Aznil Hj Nawawi menampilkan juri jemputan Datuk M Nasir di samping dua juri tetap Datuk Ramli MS dan Syafinaz Selamat.

Juara bakal membawa pulang RM100,000 dan pakej percutian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 12:16 AM