SAHI Love membantu memberi ‘mood’ yang lebih tenang dan selesa kepada pengguna.
SAHI Love membantu memberi ‘mood’ yang lebih tenang dan selesa kepada pengguna.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Cyberjaya: Sahi Elements Sdn Bhd (Sahi), pengeluar produk kesihatan dan kecantikan Bumiputera, berada di landasan kukuh untuk mencapai sasaran jualan RM1.5 juta bagi segmen produk mandi bunga modennya menjelang akhir tahun ini.

Pengarahnya, Norelissa Idayu Zainal Abidin berkata, produk keluaran Sahi yang didatangkan dengan tujuh jenis bauan itu mendapat sambutan hangat daripada pelanggan.

Katanya, sejak berada di pasaran dua tahun lalu, kira-kira 100,000 botol produk mandi bunga modennya sudah terjual di seluruh negara.

"Boleh dikatakan Sahi menjadi pengeluar pertama di Malaysia yang menghasilkan produk mandian sarang burung walit dengan tujuh jenis bunga (mandi bunga moden).

"Kami modenkan mandi bunga dan produk ini menjalani kajian dan pembangunan (R&D) kira-kira tiga bulan. Hasilnya, mandian bunga moden ini bukan saja membantu memperbaiki kesihatan kulit, malah kelebihannya membantu memberi manfaat kepada emosi pengguna.

"Disebabkan itu, produk Sahi Love paling laris kerana ia sesuai untuk orang yang mempunyai masalah dalam hubungan dan ia membantu memberi 'mood' yang lebih tenang dan selesa," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, antara produk mandi bunga moden adalah Sahi Love, Sahi Hope, Sahi Charm, Sahi Calm, Sahi Elegant, Sahi Sparkle dan Sahi Senorita.

Beliau berkata, produk mandi bunga moden dijual pada harga RM39 sebotol, dengan purata penggunaan sehingga 30 hari.

"Kami akan mempelbagaikan lagi bauan yang ada termasuk saiz botol dan produk Sahi ini boleh didapati di semua platform media sosial.

"Selain itu, kami merancang untuk menembusi pasaran luar negara seperti Indonesia, Brunei dan Singapura bermula tahun depan berikutan sudah ada permintaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 6:30 AM