NUR Jauhatul Dinnie dan suami, Syukry Radzuan ketika menerima Anugerah Asean Food & Travel 2022. Gambar kecil, antara produk keluaran DN’s Beauty Solution.
NUR Jauhatul Dinnie dan suami, Syukry Radzuan ketika menerima Anugerah Asean Food & Travel 2022. Gambar kecil, antara produk keluaran DN’s Beauty Solution.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pengeluar produk makanan kesihatan, DN's Beauty Solution menyasarkan untuk melahirkan 10,000 usahawan baharu tahun ini, sekali gus komited membantu lebih ramai masyarakat yang hilang sumber pendapatan melalui bimbingan komprehensif.

Pengasasnya, Nur Jauhatul Dinnie Mohammad Johari berkata, sasaran itu mampu dicapai kerana syarikat memberi fokus dalam membantu masyarakat yang hilang sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, tahun lalu, DN'S Beauty berjaya membantu dua ejen yang hanya menjadi suri rumah memperoleh jualan melebihi RM1 juta.

"Tahun ini, kami mahu melahirkan lebih ramai jutawan di bawah DNS Beauty sekiranya mereka ingin mengubah kehidupan dan membaiki sumber kewangan.

"Kami sedar ramai individu menghadapi kesukaran dalam hal kewangan dan ini masanya membuat keputusan berani dalam mengubah hidup," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, DN'S Beauty juga memenangi Anugerah Asean Food & Travel 2022 di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

"Ketika pandemik selama dua tahun, kami mengeluarkan produk vitamin C yang terjual lebih sejuta unit.

"Tahun 2021 menyaksikan kerja keras syarikat berjaya membuahkan hasil dengan keuntungan sebanyak RM2.8 juta selepas membuka syarikat lima tahun lalu," katanya.

Nur Jauhatul Dinnie berkata, tahun ini DN'S Beauty akan memfokus dua produk yang mendapat permintaan ramai iaitu Superkids dan Glowskin.

Beliau berkata, produk keluarannya terbahagi kepada dua, untuk dewasa serta kanak-kanak.

"Sebelum ini produk terbabit dalam bentuk serbuk, namun kami formulasikan kembali dalam bentuk tablet yang mana Superkids dan Glowskin menggunakan adunan bahan sunah seperti kurma, kismis dan susu kambing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 7:01 AM