KEMALANGAN maut membabitkan kereta dan motosikal. FOTO fail NSTP
KEMALANGAN maut membabitkan kereta dan motosikal. FOTO fail NSTP

SHAH ALAM: Sebanyak 838 kes kemalangan maut direkod bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini dengan 612 kes daripadanya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Abd Ghafar Yusof berkata, kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal meningkat 24 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Pada tahun lalu, kes kemalangan maut bagi golongan ini bagi tempoh Januari 2014 hingga Oktober 2014 adalah sebanyak 588 kes," katanya kepada pemberita selepas selesai Op Cerah di Plaza Tol Batu Tiga, di sini malam tadi.

Abd Ghafar berkata, antara punca kematian penunggang dan pembonceng motosikal lazimnya daripada tidak memakai topi keledar dengan betul dan menggunakan topi keledar yang tidak menepati spesifikasi SIRIM.

Selain itu, mereka juga tidak mengenakan jaket keselamatan.

Dalam operasi yang turut disertai oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis, JKJR mengagihkan 50 buah topi keledar dan 100 jaket keselamatan kepada penunggang dan pembonceng motosikal.

Abd Ghafar berkata, kempen advokasi keselamatan jalan raya memainkan peranan penting bagi mengurangkan kadar kemalangan.

"Ia terbukti di mana indeks kematian jalan raya mencatatkan penurunan daripada 4.51 kematian bagi 10,000 kenderaan pada 2004 kepada 2.66 kematian pada 2014," katanya.

Menjelang 2020 kerajaan menyasarkan indeks pada kadar 2.0 bagi setiap 10,000 kenderaan.

Dalam operasi itu, AADK menahan penunggang motosikal berusia 40-an di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2015 @ 1:26 PM