Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Empat puluh tujuh GRO warga Thailand ditahan polis dalam serbuan di pusat hiburan di Pusat Perniagaan Kuchai, di sini, malam tadi.

Skuad Taktikal Khas Anti maksiat, Perjudian dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman turut menahan lapan penjaga dan pekerja premis, dalam serbuan pada 11.30 malam.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata ketika ditahan semua wanita terbabit gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

Menurutnya, serbuan terbabit dilakukan hasil maklumat awam dan risikan terperinci dijalankan pihaknya.

“Semua yang ditangkap dibawa ke Balai Polis Petaling untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 55 Akta Imigresen dan Seksyen 3 Akta Kastam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 1:12 AM