KAPAL terbang B-29 ketika membuat tinjauan di Osaka pada 1 Jun 1945.
KAPAL terbang B-29 ketika membuat tinjauan di Osaka pada 1 Jun 1945.
ORANG awam yang cedera akibat bom atom di jalanan Hiroshima.
ORANG awam yang cedera akibat bom atom di jalanan Hiroshima.
PESAWAT Enola Gay menggugurkan bom atom ‘Little Boy’ di Hiroshima. Kru pesawat itu diketuai Kolonel Paul W Tibbets (tengah).
PESAWAT Enola Gay menggugurkan bom atom ‘Little Boy’ di Hiroshima. Kru pesawat itu diketuai Kolonel Paul W Tibbets (tengah).
Oleh Siti Salmiah A Hamid dan Nor Hanisah Kamaruzaman


Kemusnahan akibat letupan bom atom di dua bandar di Jepun Hiroshima dan Nagasaki masih terpahat di ingatan meskipun sudah 70 tahun berlalu.

Ia sejarah yang pastinya dikenang seumur hidup oleh saudara-mara dan ahli keluarga mangsa sewaktu Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presiden Harry S Truman membenarkan bom atom digunakan bagi melumpuhkan Empayar Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Pada 6 Ogos 1945, pesawat pengebom Amerika Syarikat B-29 menggugurkan sebutir bom nuklear digelar ‘Little Boy’ di tengah bandar raya Hiroshima.

Letupan bom setinggi kira-kira 600 meter itu bersamaan dengan 15 kilogram tan bahan letupan tinggi TNT. Kekuatan itu sudah cukup untuk membunuh kira-kira 70,000 orang dengan serta-merta.

Pada akhir tahun sama, ribuan lagi terkorban akibat cedera dan keracunan radiasi menjadikan jumlah keseluruhan yang terbunuh di Hiroshima mencecah 140,000 orang.

Tiga hari kemudian, pesawat sama menggugurkan bom atom kedua digelar ‘Fat Man’ di kawasan perindustrian bandar Nagasaki.

Ledakan letupan yang bersamaan 21 kilogram tan TNT itu menyebabkan kematian hampir 75,000 daripada 240,000 penduduk Nagasaki dan jumlah kematian meningkat menjelang akhir 1945 apabila mencapai 80,000 orang.

Pengeboman ini jelas membuktikan nilai nyawa manusia dianggap hanya sebesar kuman pada kaca mata kuasa besar terhadap rakyat negara lain.

Berdasarkan laporan Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa (SIPRI), lebih 16,000 kepala peledak nuklear masih wujud dan aktif di seluruh dunia.

Russia memiliki kepala peledak nuklear tertinggi iaitu sebanyak 8,000, diikuti Amerika Syarikat (7,300).

Negara lain yang turut memiliki senjata itu ialah Perancis (300), China (250), United Kingdom (225), India (110), Pakistan (120), Israel (80) dan Korea Utara (8).

Bagi yang tidak tahu betapa dahsyatnya kesan bom nuklear, satu megaton bersamaan satu juta bahan TNT. Ia mampu menghancurkan sebuah tempat pada radius 80 kilometer. Pastinya senjata nuklear lebih dahsyat penangannya berbanding bom atom!

Selepas beberapa dekad perang dunia berlalu, majoriti rakyat dunia masih tidak sedar dan tidak peka dengan bahaya dan kesan senjata nuklear.

Walaupun senjata berbahaya seperti periuk api dan gas beracun sudah diharamkan, senjata nuklear masih wujud dan aktif di muka bumi.

Kesedaran mengenai kewujudan senjata nuklear juga merosot terutama dalam kalangan rakyat di negara pemilik senjata itu sendiri terutama negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Russia dan China.

Tinjauan dijalankan Soka Gakkai International pada 2010 mendapati hanya 43.2 peratus rakyat United Kingdom (usia lingkungan remaja hingga awal dewasa) sedar negara mereka memiliki senjata nuklear, sementara 59.2 peratus rakyat Amerika Syarikat (dalam lingkungan remaja hingga 30-an) ada kesedaran berkenaan.

12 CABARAN PERLU DIHADAPI PENDUDUK DUNIA

Pelbagai cabaran bakal dihadapi bukan saja rakyat negara yang memiliki senjata nuklear, malah penduduk dunia kerana secara amnya ia memberi kesan negatif.

Cabaran pertama dari segi kemanusiaan. Orang awam mangsa utama perang menggunakan senjata nuklear kerana tidak mungkin ia dihalakan khusus kepada tentera semata-mata.

Cabaran kedua dari segi alam sekitar yang turut membabitkan seluruh penduduk dunia. Walaupun senjata itu hanya diletupkan di negara yang menjadi sasaran, kesannya berpanjangan.

Sebagai contoh, sekurang-kurangnya lima bi­lion kilogram asap terhasil daripada kebakaran akibat letupan balas bom nuklear antara India dengan Pakistan menyebabkan seluruh bumi diselaputi jelaga dan mendung pada hari ke-49 selepas ia diletupkan.

Hasil kebakaran daripada 100 letupan senjata nuklear boleh menyebabkan kebuluran kerana asap dan debu yang terhasil boleh menurunkan suhu global dan secara tidak langsung memendekkan jangka hayat tanaman.

Cabaran ketiga dari segi perubatan kerana kesan kemusnahan akibat senjata nuklear bukan saja menghalang bantuan perubatan kepada mangsa, malah menyebabkan kerosakan berpanjangan.

Nuklear yang diperbuat daripada uranium dan plutonium menghasilkan sinaran radiasi ion yang boleh membunuh manusia dalam tempoh sehari, seminggu mahupun sebulan kerana sistem penghasilan darah dan sel putih dalam badan manusia sangat sensitif kepada radiasi.

Sektor ekonomi pula menjadi cabaran keempat kerana penghasilan senjata nuklear sebenarnya satu pembaziran kepada sesebuah negara. Ini disebabkan kos penghasilannya sangat tinggi dan wang yang dibazirkan untuk menghasilkan senjata nuklear sepatutnya digunakan untuk menaik taraf atau mempertingkatkan sektor pendidikan atau membasmi kemiskinan.

Sebagai contoh, kos teras bagi Russia untuk menghasilkan senjata nuklear adalah lebih AS$40 bilion manakala kos penuh hampir AS$80 bilion menunjukkan berbilion dolar dibazirkan untuk sebuah kehancuran.

Cabaran kelima, hak asasi manusia pula paling dititikberatkan kerana senjata nuklear bukan saja melanggar hak demokrasi sesebuah ne­gara, malah mencabar hak seseorang untuk hidup.

Ini kerana ujian senjata nuklear sering dijalankan di kawasan terpencil yang berpenghuni dan kebiasaannya didiami golongan minoriti.

Cabaran keenam, tenaga kerana banyak lagi alternatif selain nuklear seperti tenaga hidraulik dan angin atau solar yang jauh lebih selamat.

Walaupun nuklear mampu menghasilkan tenaga yang konsisten, sedikit kerosakan dari pusat jana tenaga boleh menyebabkan kemusnahan besar. Sisa daripada penghasilan tenaga nuklear menghasilkan bahan buangan plutonium yang boleh dicuri jika tidak dibuang dengan betul dan digunakan untuk membuat bom tangan.

Seterusnya, cabaran ketujuh iaitu ilmiah apabila pengetahuan dan formulasi kimia yang ditemui ilmuwan dalam Projek Manhattan pada 1942 menyebabkan banyak kehancuran termasuk kehancuran moral dan ilmu itu sendiri.

Projek Manhattan dilakukan selepas Adolf Hitler melancarkan gas beracun bagi membunuh sebilangan besar orang Yahudi. Pakar Amerika Syarikat segera menghasilkan bom tanpa menyedari kesan kehancuran moral kerana bom yang dilepaskan di Hiroshima dan Nagasaki sebenarnya dianggap sebagai ujian.

Cabaran kelapan dari segi politik turut menimbulkan kebimbangan kerana kestabilannya terancam dengan idea ‘kebinasaan pasti bersama’ iaitu perbalahan antara dua negara berkuasa dengan senjata nuklear tidak akan berhenti kerana mereka saling membalas dan menghancurkan satu sama lain.

Cabaran kesembilan membabitkan keselamatan kerana penghasilan senjata nuklear bukan saja menggugat kehidupan manusia, malah menjadikan dunia semakin bahaya dengan penghasilan bom tangan secara haram oleh pengganas.

Sementara cabaran ke-10 iaitu generasi muda menjadi elemen lain yang perlu dihadapi kerana kewujudan senjata itu bukan saja menyakitkan bekas mangsa yang terselamat daripada kehancuran nuklear di Hiroshima dan Nagasaki, malah menghilangkan rasa perikemanusiaan kepada generasi akan datang.

Walaupun sudah lebih 70 tahun senjata itu menghancurkan penduduk Hiroshima dan Nagasaki, mangsa yang terselamat masih nekad untuk hidup bagi menceritakan dan terus menyokong usaha menyekat senjata nuklear.

Cabaran ke-11 iaitu jantina diambil kira kerana kesan daripada senjata itu menyebabkan kemandulan dan kecacatan kepada wanita akibat radiasi yang tinggi selepas terkena impak bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.

Terakhir dari segi kerohanian yang perlu dihadapi penduduk dunia kerana setiap agama dan tamadun menentang kemusnahan dan kehancuran tetapi senjata nuklear jelas membawa kehancuran kepada manusia, haiwan, tumbuhan dan seluruh organisme di muka bumi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 5:01 AM