Kuala Lumpur: Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia hari ini mengumumkan pembatalan kesemua penerbangan keluar, masuk bagi Denpasar, Bali di Indonesia berikutan penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai akibat debu gunung berapi Raung di Jawa Timur.

Bagi AirAsia, ia turut membabitkan penerbangan bagi Lombok. Menurut laman web syarikat penerbangan nasional itu, pihak MAS akan terus memantau keadaan dan memberikan sebarang maklumat yang dikemaskini.

"Pelanggan diminta merujuk status penerbangan masing-masing di www.malaysiaairlines.com atau telefon 1300-33-1313 sebelum bergerak ke lapangan terbang.

"Aspek keselamatan sememangnya menjadi satu keutamaan untuk MAS," katanya.

Sementara itu, AirAsia dalam satu kenyataannya berkata, penerbangan keluar masuk Lombok dibatalkan kerana penutupan lapangan terbangnya kepada semua pengangkutan udara.

Menurut laporan berita, lapangan terbang lain yang turut ditutup termasuk di Jember dan Banyuwangi, juga disebabkan debu gunung berapi itu yang menjejaskan penglihatan serta isu berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2015 @ 3:11 PM