FOTO Asrizal Aris
FOTO Asrizal Aris
Oleh Asrizal Aris


Tapah: Dua pekerja kontrak penyambungan paip maut rentung manakala seorang lagi cedera selepas lori muatan paip yang sedang diselenggara terbakar di Tanah Mas, Bidor dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, ketiga-tiga pekerja itu sedang memindahkan paip untuk dimasukkan ke dalam lori namun besi kren mengangkat paip pada lori itu dikatakan terlanggar wayar elektrik menyebabkan lori itu terbakar.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Azlan Mahayudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.41 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati dua mangsa mengalami rentung manakala seorang lagi cedera.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas ketiga-tiga mangsa sedang melakukan kerja pemindahan paip ke dalam lori berkenaan.

"Pelanggaran kren membawa muatan paip dengan voltan tinggi menyebabkan berlakunya kebakaran seterusnya terkena pada mangsa," katanya.

Menurutnya, dua mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Tapah manakala seorang pekerja yang cedera turut menjalani rawatan di hospital sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 4:07 PM