Oleh Siti A'isyah Sukaimi

Putrajaya: Bermula 1 Mei ini, hotel dan restoran mewah yang layak mengenakan caj perkhidmatan wajib mempamerkan notis pemberitahuan seperti diwartakan dalam Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Caj Perkhidmatan Bagi Hotel dan Restoran) 2015.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad berkata, perintah berkenaan diwartakan selepas ia ditandatangani oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek, semalam.

Menurutnya, hotel dan restoran mewah yang gagal berbuat demikian jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000.

"Berdasarkan perintah ini, pemilik, pengurus atau pengendali hotel atau restoran hendaklah memasukkan peratusan caj perkhidmatan dikenakan serta mempamerkan tanda itu di pintu masuk hotel atau restoran atau mana-mana tempat lain yang mudah dilihat.

"Ia juga perlu dalam bahasa kebangsaan atau bahasa kebangsaan yang mempunyai terjemahan mana-mana bahasa lain.

"Selain itu, ia perlu ditulis tangan atau dicetak huruf besar dengan ketinggian huruf tidak kurang daripada lima sentimeter," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 5:23 PM