MASKOT Upin dan Ipin , Firman serta Adele menghiburkan penghuni Wad Pediatrik HKL.
MASKOT Upin dan Ipin , Firman serta Adele menghiburkan penghuni Wad Pediatrik HKL.
Oleh Nor Akmar Samudin


Menjadi penyanyi bukan sekadar untuk menghiburkan peminat dengan lagu, malah mereka mempunyai tanggungjawab sosial yang lebih besar perlu dilaksanakan.

Misalnya pesakit kronik yang sudah menjadikan hospital seperti rumah kedua mereka amat memerlukan perhatian daripada mereka yang sihat dan ada yang menaruh harapan untuk bertemu artis pujaan.

Bagi juara Akademi Fantasia 2014, Mohd Firman Bansir, 25, dan Adeline Joyce Masidah, 21, atau mesra dipanggil Adele, mereka berasa bertuah apabila mendapat undangan program Projek Ceria untuk bertemu dan bermesra dengan pesakit kanak-kanak di Wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), baru-baru ini.

Luluh hati mereka berdua apabila melihat ketabahan kanak-kanak menghidap kanser di wad itu untuk terus melawan penyakit dan berjuang bagi mengisi sisa usia.

Tidak terkata mereka berdua bahawa insan kecil yang sepatutnya menjalani kehidupan ceria dan membahagiakan bersama keluarga masing-masing terpaksa melupakan segala keindahan yang pernah mereka nikmati dulu.

Adele yang berasal dari Tambunan, Sabah, lebih banyak memerhatikan gelagat kanak-kanak itu dan sepanjang petang itu dia berusaha untuk menghiburkan mereka.

“Sejak di Tambunan, saya sudah biasa melakukan kerja amal. Bagaimanapun, hari ini kesedihan menyelinap ke seluruh jiwa saya. Bayang-kan dalam usia semuda itu mereka sudah diberi ujian berat.

“Dengan penyakit yang dideritai, sukar untuk mereka bergerak bebas seperti kanak-kanak lain. Dunia mereka hanya di atas katil hospital dan ubat-ubatan. Bukan saja saya berasa sayu melihat keadaan kanak-kanak itu, malah memandang ke wajah ibu mereka yang tidak jemu menjaga dan menemani insan comel itu turut membuatkan saya sedih.

“Semoga mereka tabah mengharungi segala kesulitan itu,” katanya.

Adele melanjutkan bicara yang dia berasa tidak sukar untuk melaksanakan tanggungjawabnya menghiburkan penghuni di wad itu kerana dia melakukannya dengan rela dan ikhlas.

“Kebahagiaan kita yang sebenar apabila kita dapat membahagiakan orang lain,” katanya.

Sebaik saja tamat program AF2014, Adele terus menikmati fasa baru dalam hidup-nya sebagai anak seni sepenuh masa. Dia berpindah ke Kuala Lumpur dan menetap bersama sepupunya di sini supaya mudah mengatur jadual kerjayanya.

“Saya mencari penaja atau syarikat rakaman yang mahu mengeluarkan single saya. Nampaknya saya tidak boleh melengahkan masa, sebalik-nya mesti bekerja keras. Hampir tiga bulan keluar daripada AF2014, saya semakin dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang dilalui iaitu saya perlu menjaga penampilan walau di mana saja berada.

“Tidak mudah sebenarnya, segalanya perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan seikhlas hati. Seperti kedatangan saya ke HKL ini, jika kedatangan saya kerana terpaksa, pasti saya akan berasa jemu dan bosan,” katanya.

Firman yang terus membina populariti menerusi single Di Pintumu juga tiada masalah melakukan khidmat sosial untuk masyarakat.

“Kejayaan saya bergelar juara AF2014 kerana sokongan masyarakat, jadi ini adalah masa terbaik untuk saya membalas semula jasa baik mereka. Saya dulu pun pernah jadi kanak-kanak dan amat bertuah kerana dapat menjalani kehidupan yang membahagiakan bersama keluarga.

“Pesakit di wad ini tidak meminta apa pun, sekadar mohon dihiburkan hati mereka,” katanya.

Hadir sama, Naib Presiden Bahagian GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin.

Yasmin berkata, mereka banyak menerima panggilan daripada keluarga pesakit, doktor dan hospital yang mahu artis datang untuk bertemu pesakit. Lantas Asto Ceria mengilham-kan program majalah berbentuk kema-syarakatan untuk merealisasikan impian kanak-kanak dan remaja menghidap kanser untuk bertemu selebiriti kesayangan mereka.

Menariknya, Projek Ceria turut menampilkan kehadiran selebriti popular seperti Datuk Aznil Nawawi, Zizan Razak, Lisa Surihani, Hafiz dan Shahrol Shiro.

Projek Ceria ini ditayang-kan di Astro Ceria (Saluran 611) dan siaran serentak di Astro Prima (105) dan Mustika HD (134), mulai 30 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 9:41 AM