ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa. FOTO ihsan bomba.
Oleh Asrizal Aris


Gopeng : Seorang lelaki maut apabila kereta dinaiki bertembung dengan lori membawa muatan arang di Kilometer 18 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini, 12.45 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki mangsa dipandu oleh rakannya dari Kuala Lumpur menghala Ipoh.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian kenderaan berkenaan dikatakan telah hilang kawalan lalu memasuki arah bertentangan dan bertembung dengan lori.

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa Mohamad Zain Abdul Rani, 53, mengalami kecederaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Bagaimana rakannya berusia 51 tahun yang memandu kereta dan pemandu lori terbabit tidak mengalami kecederaan," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk tindakan lanjut.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 10:45 AM