KAWASAN Shelly Beach di Ballina, New South Wales, ditutup kepada orang ramai selepas kejadian kedua membabitkan serangan jerung dilaporkan di kawasan itu, semalam.
KAWASAN Shelly Beach di Ballina, New South Wales, ditutup kepada orang ramai selepas kejadian kedua membabitkan serangan jerung dilaporkan di kawasan itu, semalam.
AP

Sydney: Nampaknya seminggu dua ini bukan tempoh yang baik untuk Jepun.

Semalam seorang lagi warga negara itu terbunuh selepas kakinya terputus akibat dibaham seekor jerung ketika bermain luncur ombak di pantai timur Australia.

Seorang peluncur lain dibaham jerung di kawasan berhampiran, kelmarin.

Datuk Bandar Ballina di New South Wales, David Wright berkata, jerung berkenaan menyerang mangsa dari arah belakang ketika dia bersama papan luncurnya menanti kedatangan ombak besar.

“Mangsa berusia 41 tahun,” katanya.

Selepas parah akibat kakinya terputus, rakan mangsa membawa dia ke darat sebelum cuba memberhentikan pendarahan.

Mangsa juga diberikan bantuan pernafasan.

Namun, kata Wright, lelaki terbabit akhirnya gagal diselamatkan kerana pendarahan terlalu banyak.

“Kecederaan daripada kedua-dua kakinya terputus dibaham jerung menyebabkan pendarahan gagal dihentikan,” katanya.

Menurut Wright, identiti mangsa perlu dirahsiakan.

“Dia bekerja sebagai pencuci di kedai luncur tempatan,” katanya.

Ekoran kejadian semalam, kawasan pantai di situ ditutup kepada orang ramai.

Kelmarin, Jabez Reitman, 35, turut dibaham jerung pada pinggangnya kira-kira 20 kilometer dari tempat serangan semalam berlaku.

Kata Reitman, asalnya dia menyangka seekor ikan lumba-lumba menggigitnya.

“Saya tidak menyedari bahaya itu sehinggalah berasa kesakitan amat sangat,” katanya.

Reitman kemudian dipindahkan ke Hospital Universiti Gold Coast dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 7:21 AM