Nur Zulaikha terpaksa meneruskan hidup dengan bergantung kepada alat bantuan pernafasan 24 jam sehari kerana menghidap penyakit asma kronik. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nur Zulaikha terpaksa meneruskan hidup dengan bergantung kepada alat bantuan pernafasan 24 jam sehari kerana menghidap penyakit asma kronik. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Pergerakan harian kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun terbatas sejak empat bulan lalu akibat penyakit asma semakin kronik.

Nur Zulaikha Zakaria menghidap penyakit itu sejak tujuh tahun yang lalu dan sudah 16 kali dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Ibunya, Zawani Ismail, 39, berkata, setiap kali mendapatkan rawatan, anaknya itu akan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) untuk tempoh beberapa hari sebelum dipindahkan ke wad biasa.

Katanya, kali terakhir anaknya mendapatkan rawatan di HRPZ II awal tahun ini selama dua bulan selepas mengalami sesak nafas dan terpaksa ditempatkan di PICU.

"Sejak dua bulan lalu, anak saya terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan untuk tempoh 24 jam kerana masalah paru-paru mengecut dan hanya membukanya dalam tempoh 15 minit saja ketika berada bilik air. Jika lebih daripada 15 minit, anak akan mengalami sesak nafas.

"Doktor memaklumkan anak saya memerlukan masa untuk pulih dan kembali normal seperti kanak-kanak yang lain," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Bharu, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia menyewa mesin oksigen daripada HRPZ II dengan harga RM350 memandangkan keluarganya tidak mampu membeli mesin itu yang berharga RM45,000 seunit.

Katanya, suaminya, Zakaria Mohd Yusof, 67, hanya bekerja sebagai pemotong rumput dengan pendapatan RM500 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 7:13 PM