ARHAM Syafiq dan isteri bergambar bersama pekerja mereka.
ARHAM Syafiq dan isteri bergambar bersama pekerja mereka.
LAYANAN mesra terhadap pelanggan dan kualiti makanan menjadi keutamaan bagi Arham Syafiq dalam bidang perniagaan.
LAYANAN mesra terhadap pelanggan dan kualiti makanan menjadi keutamaan bagi Arham Syafiq dalam bidang perniagaan.
ARHAM Syafiq dan isterinya menunjukkan char kuetiau yang membawa tuah dalam impian membangunkan restoran sendiri.
ARHAM Syafiq dan isterinya menunjukkan char kuetiau yang membawa tuah dalam impian membangunkan restoran sendiri.
KINI mempunyai 12 pekerja untuk  menggerakkan operasi di restoran.
KINI mempunyai 12 pekerja untuk menggerakkan operasi di restoran.
Fatin Farhana Japre


Bukan mudah untuk senang dan hanya remaja yang berjiwa kental serta mempunyai semangat tinggi saja mampu menggapai impian bergelar usahawan berjaya. Ini kerana dunia perniagaan memerlukan bukan sekadar modal malah seluruh jiwa dan raga perlu diberikan untuk mencapai apa diinginkan.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Melaka, Arham Syafiq Azmi, 29, memilih berjinak-jinak dalam dunia perniagaan berbanding jurutera kerana persaingan yang sengit dalam kalangan lepasan universiti.

Keputusan yang dibuat lima tahun lalu dikira langkah bijak untuk masa depannya kerana dia berjaya membangunkan Restoran Chaq Corner yang menyajikan pelbagai jenis makanan di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka dan mula beroperasi sejak dua tahun lalu.

Arham Syafiq atau lebih dikenali sebagai Chaq berkata selepas tamat pengajian pada usia 25 tahun dia nekad pulang ke kampung untuk berniaga pakaian yang dibeli dari Kemboja di pasar larut malam Jitra, Kedah sementara rakannya berlumba mencari pekerjaan tetap.

“Saya meminati bidang perniagaan inspirasi daripada ibu bapa yang menyara kami adik-beradik hasil titik peluh mengusahakan restoran makanan di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Namun selepas setahun berniaga, saya terpaksa ‘lelong’ semua pakaian kerana mahu mendirikan rumah tangga dan berpindah ke Melaka menemani isteri yang masih dalam tempoh pengajian.

“Keadaan saya ketika itu sangat susah dan hanya mampu menyewa bilik kecil di sebuah pangsapuri berhampiran tempat pengajian isteri menggunakan duit lelong pakaian.

“Oleh itu, berbekalkan kemahiran memasak yang dipelajari daripada ibu, saya dan isteri mula berniaga kecil-kecilan set makanan berharga RM5 pada waktu malam di sekitar UTeM.

“Demi mencari semangat baru, saya nekad menggadai semua barang berharga dan duit yang diperoleh diguna untuk beli peralatan berniaga secara berperingkat. Kebetulan pada masa itu seorang pak cik saya mahu ‘menurunkan’ resipi char kuetiau, saya cuba memasaknya sehingga mahir dan mula ‘berniaga di bawah payung’,” kata anak kelahiran Kedah ini.

Permintaan yang tinggi terhadap char kuetiau yang dijualnya menyebabkan Chaq melangkah setapak ke hadapan menyewa dan membuka Restoran Chaq Corner berbekalkan modal RM10,000 dengan bantuan tiga rakannya.

“Sejak awal pembukaan, sambutan sangat menggalakkan dan sehingga hari ini restoran saya sentiasa penuh. Saya percaya rezeki Allah untuk saya sentiasa ada. Bagi saya jika benar mahu berniaga hati kena bersih, kualiti makan sentiasa dijaga dan sentiasa ingat setiap rezeki kita ada rezeki untuk orang lain.

“Alhamdulillah, sekarang saya mampu berdiri di atas kaki sendiri dan mempunyai 12 pekerja yang membantu menggerakkan operasi di restoran setiap hari. Jika dulu saya ‘patah kaki’ kerana tidak ada kenderaan namun kini sudah mampu memiliki kenderaan dan rumah sendiri.

“Nasihat saya kepada anak muda, jangan jadikan modal sebagai alasan kerana semua kejayaan kena bermula dari bawah. Cari seorang mentor untuk mendapatkan nasihat mengenai selok-belok perniagaan dan saya sendiri berbesar hati untuk membantu anda dengan tangan terbuka,” kata anak sulung daripada empat beradik ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 5:01 AM