Adam dijatuhi hukuman penjara 12 bulan terhadap tuduhan mengugut ibu di Mahkamah Majistret. FOTO Fathil Asri
Adam dijatuhi hukuman penjara 12 bulan terhadap tuduhan mengugut ibu di Mahkamah Majistret. FOTO Fathil Asri
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku salah mengugut mahu membunuh ibunya dan memiliki dadah, Disember lalu.

Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman terhadap Adam Abdullah, 28, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menyatakan mahu membunuh ibunya, Rahimah Abdul Rahman, 52, di Kampung Terap, Banggu, di sini, jam 9 pagi, 10 Disember 2016.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.4 gram di tempat dan masa yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahmeera Mustafa memohon supaya hukuman setimpal untuk memberi pengajaran.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan dari tarikh ditangkap pada 10 Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 5:46 PM