SEORANG anggota polis memeriksa sebuah bilik di kuil Dhammakaya di wilayah Pathum Thani sambil diperhatikan dua sami.  - Reuters
SEORANG anggota polis memeriksa sebuah bilik di kuil Dhammakaya di wilayah Pathum Thani sambil diperhatikan dua sami. - Reuters
Agensi

Bangkok: Polis Thai menemui beberapa terowong rahsia di bawah kuil kumpulan Buddha Dhamakaya ketika usaha memburu sami kumpulan itu yang didakwa menggelapkan wang berjuta-juta dolar masuk hari kedua, semalam.

Ribuan anggota polis terbabit dalam usaha menangkap Phra Dhammachayo, 72, bekas ketua sami Wat Dhammakaya di pinggir Bangkok.

Sami itu yang mengasaskan kumpulan serpihan Buddha itu pada 1970 dan mengetuai kebangkitan agamanya, dituduh terbabit dalam penggubahan wang dan menerima wang yang digelapkan berjumlah AS$33 juta (RM147 juta) daripada bekas pemilik sebuah bank kerjasama yang kini menjalani hukuman penjara.

Namun, selepas usaha itu memasuki hari kedua, polis hampa apabila mereka tidak menemui Phra selepas memeriksa sejumlah besar bilik dan dewan di kuil yang terletak di kawasan 1,000 ekar itu.

Mereka sebaliknya menemui terowong sepanjang 1.5 kilometer yang pecah kepada dua laluan di bawah kuil seperti piring terbang UFO yang diyakini menjadi tempat bekas ketua sami itu bersembunyi.

“Ia hanya mempunyai satu pintu masuk tetapi tiada jalan keluar dari kuil itu,” kata timbalan jurucakap Jabatan Siasatan Khas, Kolonel Worranan Srilum.

Mereka juga memeriksa kamar sakit yang digunakan sami itu tetapi hanya menemui timbunan jubah oren di atas beberapa bantal yang diatur seperti seseorang sedang tidur.

“Kawasan kuil itu sungguh luas dan ia mengambil masa untuk memeriksanya. Kami masih belum menemui orang yang kami cari. Hasil perisikan kami menunjukkan dia masih berada di dalam kuil itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 10:13 AM