Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Polis menahan dua lelaki dan merampas 350 kilogram (kg) daun ketum dalam serbuan di sebuah khemah di Kampung Bendang Besar, Jedok, Tanah Merah, kelmarin.

Dalam serbuan 4 pagi itu, dua lelaki berusia 24 dan 39 tahun sedang leka membungkus daun ketum untuk dipasarkan di sekitar Tanah Merah.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, daun ketum yang dirampas bernilai lebih RM10,000.

"Dua lelaki itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Hasil pemeriksaan di khemah, kita menemui daun ketum serta tiga botol plastik mengandungi cecair keperangan yang disyaki air ketum," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 33 Akta Racun Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 12:44 PM