Warga Nepal dibawa keluar dari mahkamah. - Foto Izlaily Nurul Ain Hussein
Warga Nepal dibawa keluar dari mahkamah. - Foto Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seorang lelaki warga Nepal dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas didapati bersalah bagi tuduhan memiliki gambar berunsur lucah dalam telefon bimbitnya.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias menjatuhkan hukuman itu terhadap Bam Bahadur Bhetal, 29, selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci itu didakwa memiliki lima gambar berunsur lucah yang disimpan dalam telefon bimbit Samsung Galaxy J1 miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukannya ketika berada di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di sini, kira-kira 11 pagi, semalam.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Mohd Nasir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 2:25 PM