Agensi

London: Pasport Jerman paling berkuasa di dunia kerana pemegangnya boleh memasuki paling banyak negara tanpa perlu memohon visa terlebih dahulu.

Menurut senarai Passportindex.org untuk perjalanan 2017, pasport kedua paling berkuasa ialah Sweden diikuti Singapura yang mengatasi Korea Selatan sebagai pasport paling berkuasa di Asia tahun ini.

Malaysia menduduki tangga ke-19, turut mengatasi kedudukan Korea Selatan di tangga ke-24.

Menurut Daily Mail, senarai terbaru Passportindex.org itu mengambil kira jumlah negara yang membenarkan pemegangnya masuk tanpa perlu memohon visa terlebih dahulu, sebaliknya hanya perlu sama ada bebas visa atau visa ketibaan.

Pemegang pasport Jerman boleh mengunjungi 158 negara di seluruh dunia tanpa perlu memohon visa manakala Sweden dan Singapura (157).

Pasport yang berada dalam 10 teratas, termasuk Denmark, Finland, Perancis, Sepanyol, Switzerland, Norway dan United Kingdom. Amerika Syarikat di tangga ke-11 dengan 156 negara.

Malaysia yang di tangga ke-19 membolehkan pemegangnya ke 154 negara tanpa perlu memohon visa.

Pasport Afghanistan paling lemah dengan pemegangnya hanya boleh melawat 23 negara tanpa visa, diikuti Pakistan, Iraq dan Syria.

Senarai lengkap di https://passportindex.org/byRank.php.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 7:26 PM