Anggota PPDA Balai Bomba Pengkalan Kubor menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja, Wan Rufkhan Danial Wan Ramzan, 14 yang dipercayai lemas akibat tergelincir sebelum dibawa arus Sungai Kelantan di Kampung Laut 2, Tumpat. FOTO Syamsi Suhaimi
Anggota PPDA Balai Bomba Pengkalan Kubor menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja, Wan Rufkhan Danial Wan Ramzan, 14 yang dipercayai lemas akibat tergelincir sebelum dibawa arus Sungai Kelantan di Kampung Laut 2, Tumpat. FOTO Syamsi Suhaimi
Siti Rohana Idris


Tumpat: Remaja lelaki hilang selepas tergelincir dan hanyut di Sungai Kelantan dekat Kampung Laut 2, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang, Wan Rufkhan Danial Wan Ramzan, 14, sebelum itu dipercayai berenang di Dataran Purnama yang dinaiki air sejak beberapa hari lalu bersama dua rakannya.

Bagaimanapun, dia dikatakan tergelincir dan jatuh ke dalam longkang berdekatan tebing sungai sebelum hanyut.

Seorang saksi, Shahdan Zulkerna, 14, berkata, dia yang berada dekat lokasi itu sempat melihat mangsa mandi manda dengan rakannya, sebelum seorang daripada mereka seperti tenggelam timbul.

"Saya sangkakan dia hanya main-main sehingga nampak dia cuba mencapai dua rakannya yang berada berdekatan dan mereka seperti bergelut.

"Namun mangsa terlepas pegangan tangan dan tenggelam," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Shahdan berkata, selepas beberapa meter mangsa tenggelam dan dibawa arus, mangsa timbul dan melambai tangannya meminta tolong tetapi sukar diselamatkan.

Operasi mencari mangsa dijalankan pihak berkuasa dibantu penduduk kampung.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Tumpat, Penolong Penguasa Bomba, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.34 petang.

"Seramai lapan anggota dikerahkan ke lokasi termasuk empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor.

"Bagaimanapun operasi mencari terpaksa dilakukan di permukaan sungai sahaja memandangkan cuaca yang gelap dan arus kuat.

"Operasi akan bersambung pagi esok dan setakat ini kita mengklasifikasikannya mangsa sebagai tergelincir serta dikhuatiri lemas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 8:34 PM