15 rumah musnah dalam kebakaran. FOTO ihsan Bomba
15 rumah musnah dalam kebakaran. FOTO ihsan Bomba
Faliq Lajim


Kuala Lumpur: Lima belas rumah setinggan di Jalan Sentul Pasar, Sentul musnah dalam kebakaran, 7.30 malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Ruhisha Haris berkata, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa kerana semua penghuni sempat menyelamatkan diri.

Menurutnya, kebakaran membabitkan kawasan seluas lebih 1,800 meter persegi yang kebanyakannya dihuni warga Indonesia bertaraf penduduk tetap serta tiga keluarga warga tempatan.

"Lima pegawai dan 41 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, BBP Hang Tuah, BBP Gombak Selatan, BBP Titiwangsa, BBP Wangsa Maju, BBP Setapak dan BBP Keramat terbabit dalam operasi pemadaman.

"Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 9.30 malam," katanya.

Menurutnya, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 11:00 PM