Dua beradik yang ditemui semula. FOTO Mohd Rizal Abdullah
Dua beradik yang ditemui semula. FOTO Mohd Rizal Abdullah
Mohd Rizal Abdullah

Miri: Dua beradik lelaki dan perempuan yang hilang sejak petang semalam ditemui di masjid di Piasau, di sini, pagi tadi.

Kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dan adik lelakinya berusia 7 tahun itu ditemui pada 8 pagi oleh bapa saudara mereka sebelum dibawa ke Balai Polis Pusat Miri.

Menurut sumber, kanak-kanak terbabit melarikan diri dari rumah ibu saudara mereka dan tidur semalaman di kawasan pasar di Krokop sebelum ke masjid berkenaan.

Sumber itu berkata, kanak-kanak terbabit melarikan diri dipercayai kerana masih mahu menetap bersama ibu bapa mereka yang bertindak menyerahkan mereka kepada ibu saudara mereka.

"Ibu bapa kepada kanak-kanak itu mempunyai masalah kewangan lalu bertindak menyerahkan anak mereka itu kepada keluargamereka untuk penjagaan," katanya.

Sumber itu berkata, pasangan beradik berkenaan sudah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) Miri untuk perlindungan sementara sebelum diputuskan hak penjagaan.

Difahamkan, kanak-kanak terbabit mempunyai tiga beradik lain dan semuanya sudah diserahkan kepada keluarga ibu bapanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 6:22 PM