Dijon, Perancis: Seorang pemandu melaungkan takbir sebelum merempuh pejalan kaki di timur Perancis semalam, menyebabkan 11 cedera.

Insiden itu berlaku sehari selepas seorang lelaki menyerang balai polis di Tours - juga sambil bertakbir.

Sumber polis berkata, dua daripada mangsa rempuhan itu dilaporkan parah dan pemandu terbabit kini dalam tahanan.

“Lelaki yang dilahirkan pada 1974 itu nampak tidak stabil dari segi mental dan dihantar ke hospital psikiatrik.

“Motif kejadian masih belum diketahui. Sembilan mangsa cedera ringan dan dua lagi parah, namun dalam keadaan stabil,” kata sumber itu.

Menurut sumber, suspek menyasarkan beberapa kumpulan pejalan kaki di lima lokasi berbeza di bandar itu selama hampir setengah jam.

Saksi pula berkata, pemandu terbabit melaungkan takbir selain menjerit kononnya dia bertindak mewakili kanak-kanak Palestin.

Dia mempunyai rekod jenayah kecil sejak 1990-an.

Di Twitter, Perdana Menteri Manuel Valls menggesa rakyat Perancis bersatu memberi sokongan kepada mangsa serangan berkenaan.

Kelmarin, Bertrand Nzohabonayo, 20, ditembak mati selepas menyerang polis di balai menggunakan pisau sambil melaungkan takbir di Joue-les-Tours, Tours.

Dua anggota polis parah dalam serangan itu, termasuk seorang cedera di mukanya manakala seorang lagi cedera ringan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 5:03 AM