KANAK-KANAK sekolah berlari dalam asap tebal ketika mengambil bahagian dalam acara larian 10 kilometer di New Delhi, semalam.  - AFP
KANAK-KANAK sekolah berlari dalam asap tebal ketika mengambil bahagian dalam acara larian 10 kilometer di New Delhi, semalam. - AFP

New Delhi: Sekolah di ibu negara India ini akan ditutup selama tiga hari bermula hari ini.

Arahan itu dikeluarkan kerajaan negeri Delhi selepas bandar raya berkenaan berdepan dengan pencemaran udara paling buruk sejak beberapa tahun lalu.

“Langkah kecemasan perlu diambil bagi menyelesaikan masalah ini. Semua kerja pembinaan dan pemusnahan di sekitar New Delhi diharamkan selama lima hari. Sekolah pula ditutup tiga hari,” kata Ketua Menteri, Arvind Kejriwal.

Asap tebal menyelubungi New Delhi sejak beberapa hari, memaksa pihak berkuasa tempatan dan kerajaan pusat India bermesyuarat untuk menyelesaikan masalah itu.

Kejriwal yang mempengerusikan mesyuarat tergempar Kabinet negeri menasihatkan orang ramai tidak menghabiskan masa di luar dan bekerja dari rumah jika boleh.

Ketua menteri itu Sabtu lalu, menuduh tindakan petani di negeri jiran membakar sisa tanaman ladang mereka sebagai punca asap tebal menyelubungi bandar raya berkenaan.

Kebanyakan negeri yang berjiran dengan Delhi bergantung kepada pertanian.

Sehubungan itu, Kejriwal memberi amaran, larangan mengharamkan kira-kira sejuta kereta menggunakan jalan raya selama 15 hari dalam usaha meningkatkan kualiti udara mungkin dilaksanakan semula.

Kualiti udara di New Delhi bertambah buruk sejak beberapa tahun lalu, kesan daripada projek pembangunan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 11:15 AM