Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Sharifah Haslinda, 44, enggan mengulas mengenai dakwaan dia dikatakan sudah berpisah dengan suaminya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas.

Perkara itu mula diperkatakan apabila pelakon drama Dhia Sofea ini memuat naik status 'Feeling good to be single again' di laman Instagram seolah-olah menggambarkan status perkahwinannya kini.

Status yang penuh teka teki itu disertakan dengan hashtag #newchapter.

Sharifah Haslinda yang mesra disapa Lynn ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia tidak mahu menjawab sebarang persoalan mengenai perkara itu.

"Buat masa sekarang saya tak nak jawab apa-apa lagi. Sekarang saya bersama dengan anak-anak," katanya.

Menerusi status yang dimuat naik semalam pelakon Eina Azman turut memberi kata semangat kepada Lynn.

"Terus tabah ya kak," tulis Eina.

Sementara itu, seorang pengikut menggunakan akaun sha_arab turut menulis di ruangan komen Lynn.

"Sekiranya itu yang terbaik, awak akan mendapat lebih kebahagiaan selepas ini, Insya Allah. Terus positif kak," tulisnya.

Selain itu, Sharifah Shahira yang juga adik kepada Lynn ketika dihubungi tidak mengetahui langsung perkara itu.

"Saya memang tak pernah nak bertanya hal rumah tangga Kak Lynn. Dalam masa sama dia selalu memberitahu jangan nak menyibuk.

"Mengenai status di laman Instagram miliknya, saya pun belum sempat membacanya," katanya.

Sharifah Haslinda atau nama sebenarnya Sharifah Norazleenda Syed Abu Bakar pernah memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 pada 1 Oktober tahun lalu.

Namun pada Disember tahun lalu pelakon ini menarik balik permohonan cerai difailkan terhadap suaminya.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2005 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 5:27 PM