BERNAMA

Georgetown: Polis menerima lapan laporan polis daripada pekerja wanita sebuah kilang baju di Jalan Sungai Pinang, Jelutong, di sini, berhubung kejadian cubaan culik sejak 28 hingga 30 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, berdasarkan siasatan terperinci, polis mendapati ada percubaan culik oleh beberapa lelaki yang datang dengan kereta atau van yang cuba menarik pekerja menaiki kenderaan berkenaan.

"Kami sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di sekitar kawasan kilang itu dan menemui beberapa keterangan serta petunjuk yang dapat membantu siasatan," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, pihak polis turut meningkatkan rondaan di sekitar kawasan Jalan Sungai Pinang bagi menjaga keselamatan pekerja dan penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

Mior Faridalathrash berkata, kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 363 dan 511 Kanun Keseksaan dan mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau suspek yang dengan menyalurkan maklumat ke talian 04-2181822 atau balai polis berdekatan.

Kejadian cubaan culik pekerja kilang itu menjadi viral di Facebook dan WhatsApp hari ini. Mereka mendakwa hampir menjadi mangsa penculikan dengan suspek memberhentikan kereta sebelum menarik mangsa masuk ke dalam kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 11:34 PM