HASAN menandatangani plak pada majlis perasmian cawangan utama menara kembar Bank Rakyat sambil disaksikan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mat Noor Nawi (kiri) dan Mustafha (dua kanan), semalam.
HASAN menandatangani plak pada majlis perasmian cawangan utama menara kembar Bank Rakyat sambil disaksikan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mat Noor Nawi (kiri) dan Mustafha (dua kanan), semalam.

Kuala Lumpur: Bank Rakyat terus mencatatkan pertumbuhan positif menerusi keuntungan bersih RM1.47 bilion pada suku ketiga berakhir 30 September 2014, meningkat 7.5 peratus berbanding RM1.36 bilion suku sama tahun lalu bersandarkan perbelanjaan kewangan serta peruntukan lebih rendah.

Segmen pembiayaan peribadi masih mendominasi sumbangan kepada keuntungan sebanyak 70 peratus, manakala segmen lain seperti komersial 10 peratus, perumahan dan sewa beli masing-masing lima peratus serta Ar-Rahnu menyumbang 10 peratus.

Pengarah Urusannya Datuk Mustafha Abd Razak berkata, dari segi keuntungan sebelum cukai dan zakat, Bank Rakyat mencatatkan RM1.65 bilion pada suku berkenaan berbanding RM1.63 bilion pada suku sama 2013.

Beliau berkata, dalam tempoh itu, nisbah pembiayaan terjejas kasar adalah 2.2 peratus berbanding 2.6 peratus pada tempoh sama tahun lalu, sementara kadar liputan asas kerugian pembiayaan kekal tinggi sebanyak 110 peratus.

“Jumlah aset meningkat 3.1 peratus dari tahun ke tahun kepada RM86.50 bilion berbanding RM82.79 bilion pada tempoh sama tahun lalu didorong peningkatan dalam pembiayaan kepada pelanggan dan instrumen kewangan.

“Dalam suku ketiga ini juga menunjukkan kedudukan deposit kekal sihat RM67.35 bilion sejajar dengan peningkatan pembiayaan,” katanya pada pengumuman keputusan kewangan berkenaan dan perasmian bangunan baru Bank Rakyat di Jalan Travers serta perkhidmatan Rakyat Xclusive di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek yang mengumumkan keputusan kewangan itu serta merasmikan kedua-dua pelancaran berkenaan.

Perkhidmatan Rakyat Xclusive disasarkan kepada pelanggan berpendapatan tinggi untuk menikmati layanan eksklusif melalui perkhidmatan cepat, mudah, eksklusif dan efisien.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 5:01 AM