SEKUMPULAN aktivis berhimpun di depan Istana Presiden di Jakarta semalam bagi membantah kes rogol dan bunuh seorang pelajar di Bengkulu.
SEKUMPULAN aktivis berhimpun di depan Istana Presiden di Jakarta semalam bagi membantah kes rogol dan bunuh seorang pelajar di Bengkulu.
Agensi

Jakarta: Kes rogol dan pembunuhan remaja berusia 14 tahun di Bengkulu pada April lalu mencetuskan kembali desakan kepada kerajaan supaya memperkenalkan hukuman kembiri kepada pesalah seks.

Hukuman berkenaan turut mendapat sokongan polis Indonesia yang berpendapat ia mampu memberi pengajaran kepada pesalah.

Pengarah jabatan hubungan masyarakat polis Indonesia, Boy Rafli Amar berkata, pihaknya menyokong hukuman tegas kepada pesalah seksual termasuk hukuman kembiri.

“Cadangan hukuman itu bagus dan kami sokong,” katanya.

Katanya, polis masih menunggu cadangan hukuman itu dikuatkuasakan.

Ketika ini cadangan hukuman itu masih lagi dalam peringkat kajian oleh kerajaan.

“Kita tunggu sahaja keputusan kajian itu nanti,” jelasnya.

Sebelum ini ramai pihak termasuk aktivis wanita mahu hukuman kembiri dikenakan kepada pesalah seks bagi mengatasi kes rogol yang tinggi di negara itu.

Bagaimanapun, cadangan hukuman berkenaan masih belum diputuskan kerajaan sama ada mahu dilaksanakan atau tidak.

Namun, cadangan itu kembali disuarakan selepas mayat seorang pelajar sekolah ditemui terikat dalam keadaan bogel di kawasan gaung di kampung Kasiah Kasubun di Bengkulu pada 4 April lalu.

Pelajar itu dilaporkan hilang selama dua hari selepas pulang dari sekolah.

Susulan penemuan berkenaan, polis menahan 12 lelaki termasuk remaja bawah umur dan memburu dua lagi suspek yang dipercayai merogol dan membunuh mangsa.

Kes itu menyebabkan aktivis wanita membuat bantahan bagi mendesak kerajaan memberi lebih perlindungan kepada wanita dan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 10:12 AM