Mohammad Ishak


Jertih: Seorang lelaki berusia 23 tahun yang sedang tidur dalam keretanya di tepi Jalan Jertih-Kuala Terengganu dekat Kampung Reniki, di sini, didapati memiliki 430 biji pil, dipercayai dadah dianggar bernilai RM4,000, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut yang membuat rondaan, ternampak sebuah kereta Proton Perdana berhenti di tepi jalan berkenaan, kira-kira jam 5 pagi.

“Mereka nampak seorang lelaki sedang tidur dalam kereta itu dan mengejutkannya dengan mengetuk cermin tingkap.

“Hasil pemeriksaan dalam beg sandang dipakai suspek, polis menemui 430 pil disyaki dadah serta serbuk kristal dalam straw disyaki syabu," katanya.

Menurutnya, suspek yang berasal dari Kampung Gong Duek di sini, kemudian ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2016 @ 3:57 PM