Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memperluaskan perbankan mudah alih TAP-i dengan fungsi pembayaran cukai pendapatan menerusi usaha sama strategik bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, dengan penyertaan LHDN, pengguna TAP-i kini boleh membuat bayaran cukai pendapatan melalui telefon bimbit pada bila-bila masa.

Katanya, transaksi elektronik itu tidak memerlukan sambungan internet dan ia adalah kemudahan pertama seumpamanya ditawarkan di Malaysia.

"Setakat ini, kami mempunyai 560,000 pelanggan yang menggunakan kemudahan TAP-i dan menerusi usaha sama strategik itu pihaknya menyasarkan jumlah pelanggan bertambah hingga 600,00 menjelang akhir tahun ini.

"Secara purata kira-kira 1.4 juta transaksi direkodkan dalam tempoh sebulan menerusi perkhidmatan itu," katanya pada majlis pelancaran pembayaran cukai melalui TAP-i dan pemeteraian usahasama antara BIMB dengan LHDN di sini, hari ini.

TAP-i adalah platform perbankan elektronik yang memerlukan cip khas bersama kad SIM telefon bimbit bagi akaun semasa atau simpanan Bank Islam dan diaktifkan menerusi menu TAP Mobile Banking-i.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 6:10 PM