KEADAAN jerebu yang melanda sekitar bandaraya Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
KEADAAN jerebu yang melanda sekitar bandaraya Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
BERNAMA

KOTA KINABALU: Daerah Beaufort mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 161 setakat 8 pagi tadi.

Jurucakap stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah berkata, kawasan Kota Kinabalu mencatatkan IPU 60, Keningau (58), Tawau (23) dan Sandakan (22).

Jurucakap berkenaan berkata, pihak JAS Sabah telah membuka stesen pengawasan kualiti udara sementara di Beaufort bagi memantau keadaan jerebu dari masa ke semasa.

Hari ini 77 buah sekolah di Beaufort, Membakut, Bisuluk, Papar, Bongawan dan Kuala Penyu ditutup kerana catatan IPU tidak sihat.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Sementara itu, menurut laman web Jabatan Metereologi, Keningau setakat pagi tadi merekodkan suhu 35.5 darjah selsius, Kota Kinabalu (34.1), Ranau (33.0), Sandakan (32.9), Tawau (32.0) dan Kudat (31.8). - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 12:15 PM