JASNI (dua dari kiri) bersama Sanusi meninjau sempadan negeri di lokasi trek perlumbaan, semalam.
JASNI (dua dari kiri) bersama Sanusi meninjau sempadan negeri di lokasi trek perlumbaan, semalam.

Jasin: Sebagai tanda mengalu-alukan kehadiran peserta Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014, penduduk Kampung Sialang Relau, di sini, mengambil inisiatif menceriakan laluan yang menjadi trek acara itu.

Penduduk kawasan Johor membabitkan mukim Tangkak iaitu Kampung Jalan Raja, Kampung Relau, Batang Chong dan Kampung Orang Asli Sungai Mering, di sini, akan dihiasi dengan Jalur Gemilang dan bendera Johor sebagai tanda peserta memasuki kawasan negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sialang Relau Asahan Jasni Nordin berkata, mereka akan memasang bendera Johor sebagai penanda sempadan supaya pelumba tahu mereka memasuki negeri berkenaan.

Katanya, laluan itu juga akan dihiasi poster selamat datang ke Johor selain menyatakan sokongan penduduk kepada kejohanan itu.

“Kami terharu dan menyokong sepenuhnya penganjuran kejohanan ini kerana dapat mempromosi kawasan kami yang selama ini mungkin langsung tidak dikenali penduduk luar.

“Walaupun terletak jauh dari bandar, kampung kami mempunyai daya tarikan tersendiri yang mampu membuat pengunjung kagum apabila melihat sendiri suasana indah dengan kehijauan di kawasan kaki Gunung Ledang,” katanya, di sini, semalam.

Sebelum itu beliau membuat tinjauan di kawasan laluan trek bersama pasukan teknikal kejohanan yang diketuai Juru Perunding Teknikal D Wish Managment Muhd Sanusi Kamarul Azaha.

Jasni berkata, sebagai membuktikan sokongan terhadap kejohanan ini, penduduk memberi kebenaran kepada penganjur menjadikan tanah milik mereka yang kebanyakannya kawasan pertanian, dijadikan trek perlumbaan.

Beliau yang juga ketua kampung berkenaan berkata, penduduk amat berpuas hati dengan penerangan dan inisiatif penganjur yang bertemu pemimpin setempat terlebih dulu bagi membincangkan mengenai perkara itu.

“Kami mengambil positif penganjuran acara ini kerana mampu memberi limpahan ekonomi kepada penduduk terutamanya peniaga dan peniaga produk berasaskan pertanian kerana kehadiran ramai peserta luar.

“Saya juga ada memaklumkan kepada penduduk supaya membersihkan kawasan milik mereka, terutama sekitar laluan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:36 AM